Ahad, 22 Januari 2017

PAS akan nilai untung-rugi kerjasama dengan PKR - Hadi

Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: PAS akan menilai kerjasama politiknya dengan PKR, demikian menurut Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
 
Bagaimanapun pemimpin PAS itu berkata setakat ini hubungan kedua-dua parti berkenaan tidak menimbulkan masalah, walaupun kerjasama itu lebih bertumpu untuk kerajaan negeri Selangor.
 
"Tidak timbul masalah tiada kerjasama (PAS-PKR) kerana ia sudah ada. Cuma PAS kena buat perhitungan sejauh mana untung dan rugi kerjasama itu sebab kerjasama itu sudah ada. PAS ada perhitungannya (tersendiri)," demikian menurut Hadi.
 
Hadi, bagaimanapun tidak memperincikan sejauh mana tindakan untuk menilai kerjasama itu akan dilakukan.
 
Ahli Parlimen Marang itu berkata demikian ketika diajukan kedudukan kerjasama PAS dan PKR di Selangor selepas parti itu tidak lagi bersama dalam Pakatan Harapan (PH).
 
Walaupun PAS kini bergabung dengan Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN) menerusi Gagasan Sejahtera, namun ia masih dilihat 'bersendirian', apatah lagi dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.
 
Hubungan politik PAS-PKR mula diperkatakan selepas Muktamar PAS pada tahun lalu meluluskan usul untuk mengkaji semula tahaluf siyasi antara dua parti berkenaan.
 
Keadaan itu timbul selepas PKR menjalin kerjasama dengan DAP dan Amanah, dua musuh politik utama PAS yang kini bergabung di dalam Pakatan Harapan (PH).

Bukan itu sahaja sikap PKR yang cenderung terhadap Amanah dan DAP menimbulkan 'gusar' di kalangan pemimpin parti pimpinan Hadi itu, sementelah sikap parti serpihan PAS itu kerap kali menyuarakan kritikan lantang.
 
Amanah juga secara terbuka mahu bertanding di kesemua kerusi tradisi PAS dalam pilihan raya kelak, sehingga PAS mengancam PKR untuk bertanding di kerusinya sekiranya parti yang dipimpin Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail itu gagal mengawal Amanah.
 
 

Tiada ulasan: