Rabu, 18 Januari 2017

Mahfuz memang cabar PAS, tapi tiada tindakan ke atasnya - Daeng

ANTARAPOS.COM

Post Pic
 
 
PETALING JAYA: Datuk Mahfuz Omar memang mencabar pucuk pimpinan PAS apabila menongkah arus dan menyertai program anjuran Pakatan Harapan.
 
Pengerusi Siasatan Jawatankuasa Disiplin PAS, Datuk Dr Daeng Sanusi Daeng Mariok bagaimanapun berkata tiada tindakan dikenakan kepada Ahli Parlimen Pokok Sena itu berikutan tidak menerima apa-apa laporan bersabit tindakannya itu daripada ahli parti.
 
“Tindakan Mahfuz memang mencabar PAS. Tapi, untuk mengambil tindakan selanjutnya, ia bergantung pada pertimbangan pimpinan PAS. Kalau ada laporan, kami akan teliti.
 
“Jawatankuasa Disiplin PAS hanya menunggu laporan, jika ada laporan kami akan bertindak. Tetapi setakat ini masih tidak ada laporan lagi,” katanya dipetik sebuah portal berita.
 
Mahfuz sebelum ini secara terbuka menghadiri program anjuran Pakatan Harapan termasuk himpunan BERSIH 5 dan terbaru hadir ke majlis pelancaran Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).
 
Malah, Mahfuz yang juga bekas ketua penerangan PAS itu turut mengkritik partinya apabila tidak menghantar wakil pada majlis itu dan menyifatkan PAS seolah-olah enggan menjalinkan kerjasama bersama gabungan pembangkang seperti diingini rakyat.
 
Naib Presiden PAS, Idris Ahmad sebelum ini memberitahu, partinya mempunyai program tersendiri ketika PPBM mengadakan majlis pelancarannya di Stadium Melawati Shah Alam, minggu lalu.
 
"Dia (Mahfuz) tahu tak sebab apa (kita tak hadir). Kita (masa itu) ada program sendiri," katanya kepada Antarapos, merujuk kepada Himpunan RUU 355 peringkat Wilayah Persekutuan, yang turut diadakan pada malam Sabtu lalu. 
 
"Tanya lah dulu, tak elok la panaskan keadaan," bidas Idris.
 
Dalam pada itu, seorang lagi Naib Presiden PAS, Datuk Iskandar Samad berkata, ketidakhadiran PAS ke majlis PPBM itu kerana dua seterunya, Amanah dan DAP turut hadir pada majlis tersebut. 
 
Menurut Iskandar lagi, PAS tidak mempunyai hubungan politik dengan kedua-dua parti tersebut menyebabkan pimpinan sebulat suara mengambil keputusan tidak hadir ke pelancaran PPBM. 
 
Tambah Iskandar, pihaknya kecewa apabila pelbagai tuduhan dan dakwaan dilempar kepada PAS kerana isu 'tidak hadir' tersebut termasuk mengatakan ia seolah-olah menghina Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad dan parti pembangkang keseluruhannya. 
 
 

Tiada ulasan: