Isnin, 23 Januari 2017

K’jaan tutup semua pejabat Tourism Malaysia

Bernama



Semua pejabat Tourism Malaysia di seluruh negara ditutup berkuat kuasa serta merta bagi mengelak pertindihan kerja dengan agensi-agensi negeri dalam mempromosi pusat pelancongan di negara ini.

Semasa mengumumkan perkara itu, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata penutupan kesemua 14 pejabat pelancongan itu tidak melibatkan pemberhentian kakitangan sebaliknya mereka akan diserap ke ibu pejabat kementerian dan jabatan lain.

Beliau berkata langkah itu dijangka mampu menjimatkan kos kira-kira RM6 juta setahun, yang boleh digunakan untuk perbelanjaan lain.

"Setiap negeri mempunyai exco pelancongan dan Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) masing-masing, jadi kita tidak mahu tugas agensi itu dengan pihak berkuasa pelancongan negeri bertindih,"kataya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Tahun Baharu Cina dan Ulang Tahun Pertama Freeport A'Famosa Outlet di Alor Gajah, Melaka, hari ini.

Turut hadir Timbalan Menterinya Datuk Mas Ermieyati Samsuddin dan Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Ab Ghaffar A Tambi serta Pengarah Urusan Kumpulan A'Famosa Datuk Alex Lau.

Mohamed Nazri berkata walaupun semua pejabat Tourism Malaysia negeri ditutup, kementerian akan menyediakan lima pejabat informasi di beberapa negeri.

Pejabat berkenaan akan disediakan di Pulau Pinang bagi kawasan utara, Terengganu bagi kawasan timur, Johor bagi kawasan selatan serta di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu bagi Sabah dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching bagi Sarawak.

Pada 14 Jan lepas, kementerian mengumumkan bahawa empat pejabat Tourism Malaysia di luar negara iaitu New York di Amerika Syarikat, Perth di Australia, Stockholm di Sweden dan Johannesburg di Afrika Selatan ditutup serta merta tahun ini.

Ini berikutan pemberhentian perkhidmatan penerbangan Malaysia Airlines Bhd (MAB) ke kawasan berkenaan.

Sementara itu, Mohamed Nazri berkata kerajaan menyasarkan seramai 30.5 juta pelancong mengunjungi Malaysia tahun ini berbanding 27 juta pelancong pada tahun lepas.

"Tahun lepas, kita lihat ada cabaran ekonomi namun, tahun ini saya yakin sasaran ini mampu dicapai," katanya.

Beliau juga berkata Malaysia berpotensi meraih pendapatan sebanyak RM105 bilion tahun ini hasil perbelanjaan para pelancong.- Bernama


Tiada ulasan: