Isnin, 23 Januari 2017

Kit Siang: Salam perdamaian kepada PAS bukan pura-pura

ANTARAPOS.COM

Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Penasihat DAP, Lim Kit Siang hari ini menegaskan salam perdamaian yang dihulur kepada PAS bukan berpura-pura.
 
Memetik portal Malaysiakini, Kit siang berkata, keutamaan pada masa kini bukanlah perbezaan pendapat sebaliknya misi menyelamatkan Malaysia daripada masalah kleptokrasi. 
 
"Berhubung dakwaan DAP bersikap hipokrit sekiranya kami kembali bekerjasama dengan PAS, saya serahkan kepada orang ramai untuk menilainya.
 
"Kita boleh berbeza pendapat, tetapi isu terbesar besar sekarang ialah sama ada kita boleh membebaskan diri daripada cengkaman kleptokrasi.
 
"Paling utama adalah untuk menyelamatkan Malaysia dari kleptokrasi dan setiap rakyat seharusnya bersatu dalam isu ini, tanpa mengira kaum dan agama," katanya pada sidang akhbar di Wisma DAP di Pulau Pinang.
 
Kit Siang pada semalam memaklumkan partinya boleh bekerjasama sekali lagi dengan PAS jika Presiden parti itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bersedia memberi komitmen untuk menyelamatkan Malaysia daripada menjadi kleptokrasi dunia. 
 
Bagaimanapun, Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali dalam reaksinya berkata, PAS tidak akan menjerat dirinya sekali lagi dalam 'permainan' politik DAP.
 
Ujarnya, huluran salam Kit Siang dengan 'kata-kata' mahu menyelamatkan Malaysia hanya sekadar menabur janji.
 
Hubungan PAS-DAP terputus selepas parti dominasi Cina itu berulang kali menyerang hasrat PAS bersabit pelaksanaan Kanun Keseksaan Syariah di Kelantan pada 2015.
 
Ia membawa kepada terkuburnya Pakatan Rakyat (PR) pada 2015. Namun kemudian Pakatan Harapan (PH) dibentuk pada 2016 lalu dengan dianggotai PKR, DAP dan Amanah, parti serpihan PAS.
 
PH kini bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) untuk menentang BN. 
 
 

Tiada ulasan: