Selasa, 24 Januari 2017

Kerjasama PRU14 Pas, Bersatu belum tamat

Pas, Bersatu


SHAH ALAM – Pas mendakwa parti Islam itu masih meneruskan perbincangan dengan Bersatu berhubung kerjasama yang akan dibentuk bagi menghadapi PRU14.

Naib Presidennya, Idris Ahmad berkata, Pas hanya menolak DAP dan Amanah dalam membentuk kerjasama, namun masih menjalankan perbincangan dengan Bersatu serta PKR.

“Malah malam kelmarin (Sabtu) pun, saya menghadiri Ceramah Perdana Semarak Hijau 3.0 yang diadakan di Hulu Langat bersama Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan kami membincangkan isu bersama iaitu untuk menumbangkan BN pada PRU14 ini.

“Dengan PKR juga ia berjalan seperti biasa dan kami tidak putuskan apa-apa lagi,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Sebelum ini, Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad memaklumkan tempoh untuk Pas berbincang dengan gabungan Pakatan Harapan sudah berakhir.

Menurut Mahathir, ini kerana pihaknya telah memberi banyak masa kepada Pas, namun masih tiada sebarang jawapan diterima berhubung kerjasama tersebut.

Menyentuh hal itu, Idris berkata, perbincangan mengenai kerjasama berkenaan masih berjalan sehingga kini namun tidak melibatkan DAP dan Amanah.

“Tun Mahathir bagi masa kepada kita, jadi dia mesti ikut kita,” katanya.

Sementara itu, Idris turut memaklumkan bahawa Pas sentiasa bersedia menghadapi pelbagai kemungkinan yang berlaku bagi menghadapi PRU14, khususnya tanpa DAP dan juga Amanah.

Katanya, tindakan Pas menolak dua parti berke-naan adalah disebabkan oleh serangan dilakukan mereka terhadap parti Islam itu sebelum ini.


Tiada ulasan: