Selasa, 24 Januari 2017

KATA PEDANG: Annuar Musa patut letak jawatan Pengerusi Mara


ISMA WEB
 


 
KELMARIN, Annuar Musa sebagai Pengerusi Mara memberitahu, Universiti Kuala Lumpur (UniKL) mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) sebagai syarat kemasukan dan menggalakkan lepasan UEC memohon pelbagai jurusan ditawarkan, termasuk Pendidikan Latihan Teknik dan Vokasional (TVET) yang menjadi fokus utama universiti itu.

Katanya, walaupun di bawah kendalian Mara, UniKL adalah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) yang telah mendapat kelulusan daripada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk menerima permohonan pemegang sijil tersebut.

“Ramai yang terlepas pandang dan menyangka UniKL sebuah univesiti awam kerana ia di bawah Mara tetapi sebenarnya ia IPTS. Saya sudah periksa polisi UniKL dan sememangnya kita dibenarkan mengambil lulusan UEC dan pensijilan antarabangsa lain seperti O-Level,” kata Annuar.

Macam Pedang tulis semalam, UEC adalah Sijil Peperiksaan Bersama Sekolah-Sekolah Menengah Persendirian Cina Malaysia dikeluarkan oleh Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia.

Langsung tidak mematuhi Dasar Pendidikan Kebangsaan.

Walaupun, telah berulang kali dijelaskan bahawa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tidak mengiktiraf sijil ini, ia tetap menjadi salah satu agenda rasis Gabungan Persekutuan Persatuan Lembaga Sekolah-Sekolah Cina  Malaysia (Dong Jiao Zong) dan ahli jawatankuasanya Dong Zong.

Akibat kenyataan Annuar itu pelbagai pihak mengecamnya. Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Perkasa dan Alumni UniKL juga membantah, selain menyifatkan Annuar dan Mara sudah terdesak.

Ketua Penerangan Isma, Ustaz Mohd Hazizi Ab Rahman menyifatkan apa yang dinyatakan oleh Annuar jelas menunjukkan Mara di bawah kepimpinan beliau sudah hilang arah dan hala tuju.

“Mara sudah hilang arah dan hala tuju. Pengiktirafan UEC oleh UniKL adalah tindakan terdesak Mara di bawah kepimpinan Tan Sri Annuar Musa yang ternyata gagal. Beliau gagal dalam menangani isu KAFA dan terkait dengan kontroversi pembelian hartanah di Australia,” katanya.

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali pula berkata, UMNO mungkin akan kehilangan kepercayaan orang Melayu jika langkah itu diteruskan.

“Saya tidak faham apa yang berlaku dengan Mara pada hari ini walhal agensi ini sepatutnya mempunyai pengerusi yang mampu membawa agenda Bumiputera secara berterusan dan relevan dengan perubahan persekitaran,” kata pula Yang Dipertua Persatuan Alumni UniKL, Muzammil Arif Kamaruddin.

Kemudian, tiba-tiba sekali lagi semalam tampil Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, menyelamatkan Annuar dengan menyatakan setakat ini, UniKL tidak berhasrat untuk mengiktiraf UEC bagi kemasukan ke universiti itu.

Kata Ismail Sabri, walaupun UniKL sebuah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS), tetapi ia adalah milik penuh Mara yang sehingga kini masih mematuhi falsafah pendidikan negara.

Ismail Sabri sebelum ini pun menyelamatkan air muka Annuar dalam kes Pelaburan Mara dan UniKL menaja pasukan bola sepak Kelantan – The Red Warriors (TRW) – di mana Annuar adalah bekas Presiden Kafa.

Menteri itu mengarahkan Mara dan UniKL menghentikan tajaan itu, selepas mendapati apa yang dikatakan Tunku Mahkota Johor (TMJ) serta pendedahan dokumen tajaan itu, ada kebenaran.

Sebelum ini, tanpa usul periksa, sebaliknya mahu membalas apa yang didedahkan oleh TMJ itu sebagai tidak benar, Annuar menafikan dengan keras penajaan itu dengan berkata, Mara tidak pernah menaja TRW walau sesen pun.

Akhirnya, Annuar mengaku juga mengenai dokumen penajaan yang didedahkan itu.

Itu, adalah apa yang terbongkar dan dapat diketahui umum. Bagaimana, jika ada lagi urusan atau urusniaga yang tersembunyi, sebagaimana isu hartanah Mara di Australia?

Annuar yang juga Ketua Penerangan UMNO mungkin tidak sedar apabila dia mengatakan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, hilang punca apabila mahu mengadakan siri jelajah Deklarasi Rakyat untuk menjatuhkan Datuk Seri Najib Razak.

Kata Pedang: Annuar sendiri sudah hilang punca dalam mengendalikan Mara – agensi yang ditubuhkan pada 1 Mac 1966, hasil daripada resolusi Kongres Ekonomi Bumiputera pertama pada 1965. Dan, dia patut letak jawatan.

Penafian: Kata Pedang adalah segmen lidah pengarang Ismaweb.net. Pandangan yang diberikan dalam ruang Kata Pedang tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Islam dan Melayu sederhana.


Tiada ulasan: