BERNAMA melaporkan daripada Kunming, China, pada 14 Januari lepas yang China menyuarakan kesediaan memindahkan teknologi kawalan sempadan kepada Malaysia.
Agensi berita itu memetik Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri, (Datuk Seri) Dr Ahmad Zahid Hamidi, sebagai berkata, banyak yang boleh dipelajari China mengenai pengawasan sempadan.
Beliau memberi contoh di wilayah Yunnan yang bersempadan dengan Laos, Myanmar dan Vietnam sepanjang kira-kira 4,060km.
Beliau berkata, Malaysia akan menghantar 10 orang pegawai dari pelbagai agensi, seperti Majlis Keselamatan Negara (MKN), imigresen, Agensi Kawalan Sempadan Malaysia, polis dan tentera ke China dua bulan lagi bagi mendalami prosedur operasi kawalan sempadan China. (Baca di sini).
Soalan yang saya hendak
tanya Zahid ialah China nak kawal sempadannya daripada siapa?
Zahid: China tawar teknologi kawalan sempadan |
Sepanjang yang kita
tahu, selain rakyat Korea Utara, tak ramai orang luar yang hendak menyeludup masuk
ke China. Bagi negara yang berpenduduk 1.4 bilion, 100,000 pendatang haram
Afrika dan Arab tidaklah ramai.
Sebaliknya, kalau ada
peluang, ramai orang China yang hendak keluar daripada China. Kini ada
kira-kira 50 juta orang China dan orang keturunan di luar benua China.
Chinatown New York |
Kalau tak percaya, Zahid boleh bagi tahu bilangan orang China yang masuk secara haram ke negara kita atau yang masuk sebagai pelancong dan penuntut tapi tak keluar. Zahid sebagai Menteri Dalam Negeri tentu sangat faham mengenai masalah masuk tapi tak keluar ini. Bikin kepala pusing.
Sekarang China kawal
sempadan bukan macam dulu lagi iaitu dengan dirikan Tembok Besar tapi dengan menjadikan
negara-negara yang berjiran dengannya sebagai negara satelit (satelite states) melalui
kuasa tentera dan ekonomi.
Kecuali Vietnam yang
mempunyai sejarah permusuhan turun-temurun dengan China, boleh dikatakan semua
negara lain yang bersempadan dengannya sudah pun mengakui dan menerima kekuasaannya
sebagai “super power” tentera dan ekonomi.
Operasi Barisan Kedua
Setelah berjaya menjinakkan
negara-negara yang bersempadan dengannya melalui kuasa tentera dan ekonomi, kini
China berusaha menjinakkan pula negara-negara barisan kedua seperti Malaysia, Singapura,
Filipina dan Indonesia.
China masih waswas
terhadap Filipina kerana sejarah kerjasama ketenteraannya yang panjang dengan
Amerika Syarikat. Walaupun Presiden Rodrigo Duterte cuba menampakkan sikap berkecuali,
tetapi dasar Filipina mudah berubah.
Negara sebelah sini yang
paling dicurigai dan masih ditakuti China adalah Indonesia. Tangan China
terbakar teruk akibat kegagalan pemberontakan Partai Komunis Indonesia (PKI)
tahun 1965. PKI diketahui terletak di bawah kawalan ideologi CPC dan mendapat
bantuan daripadanya.
Sejak kebelakangan ini
China amat selesa dengan Malaysia dan mula akrab dengan Singapura selepas
kematian Lee Kuan Yew pada tahun 2015.
Bandar Malaysia pemilik utamanya China |
Tidak hairanlah kalau
Malaysia dan Singapura sedang digula-gulakannya seperti hulubalang (warlords) China
zaman silam mengkhayalkan Maharaja China dengan gundik-gudik dan candu.
China kini memperluaskan
hegemoninya secara tersirat melalui kuasa tentera dan tersurat melalui ekonomi
di mana Malaysia dan Singapura dianggap sebagai sebahagian daripada “wilayahnya”
di bawah projek “one belt one road” atau singkatannya Obor.
Di bawah projek Obor
inilah China sangat agresif memasarkan teknologi kereta apinya kepada Malaysia
dan Singapura serta memberi pinjaman berbilion ringgit bagi melaksanakannya.
Kalau pada zaman silam
semua laluan dikatakan berakhir di Rom, di bawah Obor, semua laluan, khususnya
kereta api, berakhir di Beijing.
Bagi Najib yang sedang lemas
dalam hutang 1MDB dan musibah pertumbuhan ekonomi yang mendatar, dasar China
ini umpama pucuk dicita ulam mendatang.
Beliau mengambil kesempatan menjual dan
menggadaikan aset negara, khususnya tanah, kepada China untuk menimbus bangkai 1MDB.
Dan apa yang Ahmad Zahid
lakukan dalam lawatan ke Yunnan itu umpama menyorong bantal kepada orang
mengantuk. China sedang mencari jalan memperluaskan hegemoninya dan Ahmad Zahid
menawarkan satu lagi peluang melalui perkongsian kawalan sempadan.
Spektar Penjajahan Baru
Kalau lebih 500 lalu, korupsi
harta benda dan minda di kalangan pembesar empayar Melayu membuka jalan kepada
penaklukan Eropah, hari ini kita mungkin berdepan dengan fenomena yang sama.
Cuma kali ini penjajah
bukan dari Barat tetapi dari Utara dan kaedahnya bukan penaklukan wilayah
secara rasmi tetapi melalui intimidasi tentera dan penguasaan ekonomi.
Namun apa yang Ahmad
Zahid lakukan bukanlah langkah pemula. Najib telah mendahuluinya. Dalam lawatan
ke China November lalu, Najib bersetuju membeli empat buah kapal peronda
persisiran pantai (littoral mission ships) dan memberi kontrak projek landasan
kereta api Pantai Timur berharga RM55 bilion kepada China.
Kesemuanya, pemberian projek,
pembelian dan hutang yang dimeterai ketika lawatan Najib ke China tahun lalu berjumlah RM143.64
bilion.
Senjata dan latihan yang
dibekalkan oleh CPC kepada PKM itulah yang membunuh ribuan askar, polis, home
guard dan orang awam di Malaysia sehinggalah PKM dibubarkan melalui rundingan pada
tahun 1989.
Kini Najib membeli
senjata dari China dan Persatuan China Malaysia (MCA) – parti rakan Umno dalam
Barisan Nasional - menjalin kerjasama parti ke parti dengan CPC untuk “bekerja
sebagai satu.” (Baca di sini).
Soalnya apakah lagi
konsesi, tolak ansur dan layanan istimewa yang kerajaan BN pimpinan Najib-Zahid
akan berikan kepada China tanpa memburukkan lagi potensi ancaman kepada
kemerdekaan, kedaulatan dan keharmonian kaum?
Kawal persisiran pantai
kita daripada siapa? Dari lanun Filipina dan pendatang haram negara-negara
jiran?
Ancaman Sudah Bermula
Pada 15 Januari, Bernama melaporkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Datuk Seri) Shahidan Kassim sebagai berkata laporan media yang mengatakan nelayan sebuah negara asing yang menceroboh perairan negara tahun lepas mendapat latihan separa tentera ada kebenarannya.
Katanya, dakwaan itu dikuatkan melihat cara kedatangan nelayan asing itu secara agresif dalam kumpulan 150 buah bot besar-besar dengan diiringi bot pengawal pantai menyebabkan mereka berani melanggar bot penguat kuasa Malaysia.
“Laporan media itu sama dengan maklumat yang kita peroleh, nelayan asing ini dilatih tentera,” kata Shahidan.
Tanpa menuding jari kepada mana-mana negara jiran, kita wajib tahu dan ambil ingatan bahawa negara yang paling aktif memberi latihan tentera kepada rakyat jelata adalah China dan mempunyai anggota tentera paling ramai di dunia. Tentera Pembebasan Rakyat (PLA) mempunyai seramai 2,285,000 anggota.
Pada 30 Mac 2016, BeritaHarian.Sg (Singapura) melaporkan walaupun tentera laut Malaysia menegaskan tidak ada kapal nelayan asing dikesan di perairan negara itu di Laut China Selatan minggu lalu, pihak berkuasa maritim berkeras menyatakan sehingga 100 bot China memasuki perairan Sarawak sejak 24 Mac sebelum meninggalkannya pada Ahad (27 Mac).
Ratusan kapal nelayan China masuk perairan kita |
Dasar hegemoni China di Laut China Selatan sekarang pasti memberi semangat dan keberanian kepada nelayan negara itu untuk masuk menangkap ikan di kawasan yang dipertikai dan dalam wilayah negara-negara jiran.
Sekarang mereka hanya takut kepada Indonesia yang merampas dan meletupkan kapal nelayan asing yang menangkap ikan secara haram di perairannya.
Indonesia bakar kapal nelayan asing yang masuk secara haram |
Kita wajib bersahabat dengan semua negara di dunia dan mengalu-alukan pelaburan terus mereka tetapi ini tidak bermakna kita harus menggadai kedaulatan negara dan menjual tanah kepada mereka.
Wallahuaklam
Tiada ulasan:
Catat Ulasan