Sesuatu perlu ditengok balik. Seolah-olah guru-guru dan pelajar menjadi bingung dengan apa yang dibuat oleh kementerian. Siapa yang rugi? Tanya seorang pengulas dalam laman sembang Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS).

Ada ibu bapa yang gembira memaparkan kejayaan anak-anak mendapat 6A, 7A malah 10A. Rata-rata daripada murid-murid itu datang daripada sekolah kawalan, integrasi atau asrama penuh, yang guru-guru mereka mempunyai KPI yang ketat. Bagaimana pula dengan sekolah-sekolah awam yang lain?

Saya difahamkan disebabkan sistem penilaian yang cukup mengelirukan itu, sebuah sekolah swasta di ibu negara mengambil keputusan memansuhkan sepenuhnya kurikulum kebangsaan dan menukar kepada kurikulum antarabangsa.

Ibu bapa dan guru-guru sekolah itu mengambil keputusan sebulat suara.  Bermakna mulai tahun depan semua murid sekolah itu akan mengambil sistem peperiksaan IGCSE. IGCSE atau International General Certificate of Secondary Education ialah kurikulum yang dibangunkan oleh Peperiksaan  Antarabangsa University of Cambridge sejak 1980an.

Itulah akibatnya jika sistem pelajaran kebangsaan yang digunakan sekejap begini, sekejap begitu. Lagi ulasan dalam laman sembang itu.

Apa yang dibimbangi dalam keadaan ekonomi yang kelam, Kementerian Pendidikan dalam tempoh satu tahun lalu telah mencetuskan banyak keresahan warga guru dan ibu bapa bermula dengan PBS, kemudian soalan bocor UPSR, sekarang PT3.

Dan jawapan yang diberikan oleh pegawai kementerian dalam nada sama bahawa tidak berlaku sebarang kesilapan di peringkatnya.

Pihak kementerian berkata, pencapaian 452,745 calon yang mengambil PT3 tahun ini tidak boleh dibandingkan dengan Penilaian Menengah Rendah (PMR) sebelum ini sebaliknya perlu dijadikan penanda aras untuk melahirkan lebih ramai murid menguasai kemahiran berfikir aras tinggi dan berfikir di luar kotak sebagai persediaan asas ke peringkat pengajian lebih tinggi.

Berfikir aras tinggi? Apakah murid-murid sudah bersedia, malah adakah guru juga sudah sedia? Berikut dialog seorang cikgu dengan muridnya yang diceritakan oleh murid itu.

Cikgu bertanya: Bagaimana caranya untuk mengelakkan seorang kanak-kanak perempuan yang tidak pandai menaiki basikal mengimbangi basikal yang dinaikinya.

Murid itu setelah berfikir sebentar menjawab lisan: Tambah rodanya cikgu.

Cikgu: Salah! Budak perempuan itu kena mengunjurkan badannya ke depan bagi mengimbangi basikalnya.

Murid itu bingung. Murid itu tidak boleh mempertahankan jawapannya yang juga logik dan menggunakan tahap akalnya. Kita tidak pasti apakah logik murid itu boleh diterima atau guru itu yang tidak faham?

Komen lain pula berkata: Biarlah kita jelas dengan hasrat dan strateginya. Ia semata-mata demi kepentingan pelajar agar dapat dikurangkan sindrom “exam orientated”. Perkara ini telah lama dituntut, jika ada nilai tambah yang boleh diberi, biarlah dicari bersama. Saya mengharapkan agar sebarang kritikan adalah terjurus pada delivery, kerana inilah isunya.

Seorang lagi pengulas berkata: Pada hemat saya tidak ada rugi kalau kementerian sendiri mengambil tanggungjawab memohon maaf.

Katanya lagi. Semasa saya bertugas di sebuah agensi kerajaan pada awal 80-an, seorang menteri iaitu (Tan Sri) Sanusi Junid, ketika itu pernah menasihati kami; tujuan dan matlamat baik perlu dikembarkan dengan kaedah pelaksanaan yang baik; jika tidak matlamat tidak tercapai. Ini, katanya yang perlu dilakukan oleh teknokrat di Kementerian Pendidikan.