shahbudindotcom
Di
sekolah, di rumah, di kedai kopi, berbual sesama rakan dan di media
sosial, terhampar luas luahan rasa tidak puas hati mereka dengan PT3
ini.
Simpati
ibu-bapa kepada anak-anak mereka mengenai beban kerja persekolahan
sepanjang mengikuti pembelajaran PT3 atau Pentaksiran Tingkatan 3 sejak
tiga tahun lalu bertambah lagi hari ini apabila keputusannya diumumkan.
Jika
dulu mereka simpati dengan beban kerja yang terlampau banyak kepada
anak-anak mereka sehingga ada yang mengigau-igau dalam tidur, kini ianya
bertambah parah lagi kerana sistem yang dilaksanakan secara mengejut
dan tergesa-gesa itu ternyata hanya lebih banyak menumpahkan air mata
kesedihan berbanding tangisan kegembiraan
Ramai
murid-murid yang kecewa dan menangis dengan keputusan yang mereka
diterima. Mereka bukannya bersedih kerana gagal dan tidak memperolehi
keputusan yang memuaskan tetapi berasa seperti diperbodohkan dan
dijadikan bahan ujikaji semata-mata oleh Kementerian Pelajaran.
Mereka juga merasa seperti tidak berbaloi dengan usaha dan susah-payah melakukan kerja-kerja sekolah selama tiga tahun ini.
Ini
kerana sebelum ini Kementerian Pelajaran mengatakan tiada peperiksaan
akan diadakan tetapi pada Jun lalu tiba-tiba diumumkan ada pula
peperiksaan akan dijalankan. Sudah tentu ini menyebabkan guru-guru
menghadapi masalah kekangan masa menghabiskan semua sukatan pelajaran
yang ada.
Selama dua tahun sebelum ini belajar tanpa berorientasikan peperiksaan bagaikan hanya membuang masa saja.
Lebih
parah lagi, cara pembelajaran yang diterima murid semasa Tingkatan 1
dan 2 juga didapati berbeza dengan bentuk peperiksaan yang dihadapi. Ini
menjadikan bukan saja guru-guru garu kepala, bahkan menyebabkan
murid-murid lagi pusing kepala.
Tidak
hairanlah keputusannya amat mengecewakan sekali, terutama dalam subjek
Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris. Ramai yang gagal atau tidak
mendapat keputusan memuaskan dalam ketiga-tiga subjek itu.
Tidak
seperti selalunya, apabila sesuatu keputusan peperiksaan diumumkan di
mana ramai murid yang bergembira dengan pencapaian mereka, tahun ini
semuanya senyap dan sunyi. Tiada lagi tangisan kegembiran seperti
selalunya.
Sekolah-sekolah
yang sebelum ini mendapat keputusan cemerlang dan melahirkan ramai
murid cemerlang dalam PMR turut memperolehi pencapaian yang buruk akibat
PT3 ini. Sekolah-sekolah berasrama penuh turut menerima kesan yang
sama. Banyak sekolah hari ini hanya dipenuhi kesedihan dan tangisan
seolah-olah berlaku kematian atau malapetaka.
Dalam
masa yang sama, ada sekolah yang terpaksa mengurangkan jumlah kelas
Sains serta mengambil murid yang memperolehi gred D dalam subjek Sains
dan Matematik untuk Tingkatan 4 pada tahun hadapan kerana kekurangan
murid yang memperolehi keputusan cemerlang.
Ini
tentunya memberi kesan kepada masa depan murid-murid tersebut bagi
menghadapi SPM nanti. Ia juga memberi kesan kepada masa depan negara.
Sistem
penilaian juga turut menjadi pertikaian di mana mereka yang mendapat F
dikategorikan sebagai tidak mencapai tahap minimum sedangkan markah yang
diperolehi adalah 39 peratus dan ke bawah. Ayat berlapik digunakan
untuk mengaburi sedangkan mengikut gred PMR ada subjek yang memperolehi
25 peratus sudah dikira lulus.
Secara
umumnya, PT3 yang dilaksanakan untuk menggantikan PMR adalah sistem
yang gagal oleh Kementerian Pelajaran. Secara langsung ia juga
menandakan kegagalan Muhyiddin Yassin selaku Timbalan Perdana Menteri
dan Menteri Pelajaran yang memperkenalkan sistem pembelajaran baru ini.
Muhyiddin
nampaknya seperti kebanyakan Menteri Pelajaran sebelum ini yang
sentiasa terbelenggu dengan keinginan untuk memperkenalkan sistem
pembelajaran baru semasa memegang jawatan itu tanpa memikirkan kesannya
kepada guru dan murid-murid. PT3 ini juga difahamkan dirangka oleh
sebuah konsultan luar negara, McKinskey & Co yang menyediakan Pelan
Pembangunan Pendidikan Malaysia yang turut diumumkan oleh Muhyiddin
sebelum ini.
Setiap
kali menteri bertukar tangan, setiap kali jugalah pelbagai sistem dan
dasar baru cuba diperkenalkan. Namun semuanya dilakukan tanpa memikirkan
kesannya kepada guru dan murid dan mereka seolah-olah bahan ujikaji
semata-mata sedangkan sepatutnya dasar dan sistem sedia ada hanya perlu
diperkemas dan ditambah baik sahaja.
Muhyiddin
yang nampak gah melonjakkan namanya dalam Perhimpunan Agung UMNO yang
lalu dengan imej kesungguhan terhadap masa depan parti dan Melayu serta
berjaya menghalang Najib Razak daripada meneruskan pemansuhan Akta
Hasutan 1948, kini sedang menjadi perbualan rakyat tentang kegagalannya
sebagai Menteri Pelajaran.
Selain
PT3 yang dianggap tanda kegagalannya sebagai pemimpin, Muhyiddin juga
menjadi kecaman ramai mengenai keupayaan BestariNet yang turut
dipertikaikan ramai guru dan murid-murid sedangkan projek itu menelan
belanja yang tinggi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan