Rabu, 17 Disember 2014

Pesakit Asing di Sabah perlu ‘IC’

 
Pengecualian hanya berkuatkuasa untuk kes kecemasan.


sabah IC


KOTA KINABALU: Melainkan mereka berada dalam keadaan yang mengancam nyawa, pesakit asing di hospital Sabah kini dikehendaki menunjukkan dokumen pengenalan dan membayar sebelum mendapatkan rawatan.

Langkah-langkah tersebut hendaklah dipatuhi berikutan satu arahan tegas yang telah dikeluarkan supaya mematuhi peraturan di bawah Fees Act (Medical) 1951, yang telah berkuatkuasa selama beberapa tahun tetapi tidak dipatuhi.

Sumber memberitahu bahawa arahan tersebut diberikan oleh pihak berkuasa kesihatan di Sabah. Ia memberikan hospital-hospital kuasa untuk tidak menerima pesakit asing yang tidak membayar atau menunjukkan dokumen pengenalan.

Baru-baru ini laporan Royal Commission of Inquiry (RCI) tentang pendatang tanpa izin (PTI) di Sabah telah mendedahkan bahawa Kementerian Kesihatan tidak dapat mengutip RM21.67 juta daripada 42, 000 warga Indonesia dan Filipina yang gagal membayar selepas menerima rawatan di hospital kerajaan antara tahun 2007 dan 2012.

Dalam laporan tersebut, Ketua Penolong Pengarah Jabatan Kesihatan Kesihatan (Penyakit berjangkit) Dr Maria Suleiman berkata bahawa yuran perubatan tidak dapat dikutip kerana mereka tidak dapat mengesan pesakit-pesakit tersebut.

Di bawah akta dan berdasarkan jenis rawatan, orang asing perlu membayar antara RM10 dan RM1,250, hampir dua kali ganda apa yang perlu dibayar oleh rakyat tempatan, untuk nasihat perubatan, rawatan, pembedahan dan kelahiran anak di hospital-hospital kerajaan.

Deposit untuk kemasukan ke wad adalah di antara RM400 hingga RM2,200 untuk orang asing, dua kali ganda jumlah yang perlu dibayar oleh rakyat tempatan.

Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Dr. Noor Hisham Abdullah berkata bahawa pesakit asing di hospital kerajaan mesti dikenakan yuran berdasarkan Fees Act (Medical) 1951, tetapi peraturan tersebut boleh dikecualikan jika mereka berada dalam keadaan hidup atau mati.

“Pengecualian tersebut hanya berkuatkuasa jika terdapat kes kecemasan. Dalam kes tersebut pegawai-pegawai kesihatan akan merawat mereka,” kata beliau.

Doktor-doktor yang berkhidmat di hospital-hospital di Sabah mempunyai pendapat berbeza tentang arahan tersebut. Ada di antara mereka yang berkata bahawa ianya tidak betul untuk menolak pesakit apabila mereka tidak dapat menunjukkan dokumen pengenalan atau tidak dapat membayar untuk rawatan.

Pengarah hospital Ranau Dr. Clarence Sirisani berkata bahawa kebanyakan doktor akan tahu jika sesuatu kes tersebut mengancam nyawa atau tidak.

Bagaimanapun, kata beliau, mana-mana pesakit yang meminta nasihat perubatan, pemeriksaan kesihatan atau perkhidmatan-perkhidmatan lain di hospital kerajaan atau klinik perlu membayar terlebih dahulu sebelum diberikan perkhidmatan tersebut.

Seorang pegawai perubatan di Tawau yang enggan dikenali berkata, menahan rawatan sebelum pembayaran dibuat adalah salah.

“Sebagai doktor, saya dididik untuk untuk merawat pesakit tanpa prejudis bangsa, sosial atau kewangan. Setiap orang berhak mendapatkan rawatan kesihatan,” kata beliau.

Antara tahun 2000 dan 2011, kira-kira 1.3 juta orang asing telah menerima rawatan pesakit luar di hospital dan klinik kerajaan di Sabah.

Pada masa yang sama, 295,053 daripada mereka dimasukkan ke dalam wad sementara 122,882 kelahiran dicatatkan.

Tiada ulasan: