Mohd Amar mengadakan kuliah Jumaat di Medan Ilmu, semalam Mohd Amar mengadakan kuliah Jumaat di Medan Ilmu, semalam
 
 
KOTA BHARU - Kerajaan negeri yakin Kelantan mampu merealisasikan pelaksanaan hudud tahun hadapan mengikut kesesuaian secara realiti di sini, kata Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Abdullah.

Menurutnya, Kerajaan Pas Kelantan tidak menganggap Putrajaya sebagai ‘lokasi’ terakhir kepada perjuangannya, namun ia adalah sebagai alat untuk melaksanakan kehendak-kehendak agama Islam.

“Kita tidak boleh berhenti dengan kuasa sahaja, kalau kita dapat kuasa, tapi tidak buat agama, itu sudah salah dalam perjuangan kita, kita menang di Kelantan dan melaksanakan ajaran Islam setakat mana yang kita boleh.

“Di sini kita boleh bersikap realistik dan praktikalnya kerana 97 peratus adalah orang Melayu dan Islam, sebab itu kita buat undang-undang ini (hudud) di Kelantan, bukan pada negeri-negeri lain,” katanya  selepas menyampaikan kuliah Jumaat di Medan Ilmu, di sini, semalam.

Menurutnya, Pas Kelantan juga tidak pernah memaksa negeri di bawah pentadbiran rakan komponen PR seperti Selangor dan Pulau Pinang untuk melaksanakan hudud kerana mengakui situasi dan realitinya sangat berbeza.

Beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya Pas 1 Kelantan memberitahu, jika ia berjaya dilaksanakan di Kelantan nanti, pihaknya juga mengalu-alukan jika ia mahu diguna pakai untuk seluruh Malaysia.

Mohd Amar yang juga AJK Pas Pusat turut menegaskan, mana-mana pihak yang enggan menerima hudud tidak boleh memaksa orang Islam untuk menolak undang-undang Islam itu.

“Kita ini sebuah negara demokrasi, sebab itu kita tidak boleh paksa kehendak kita kepada orang lain, mana-mana yang tidak setuju itu adalah hak dia. Pas terbuka, dia tak nak sokong, itu hak dia, tapi jangan paksa orang lain terutama orang Islam untuk tidak sokong undang-undang Islam.

“Selama ini mereka kata benda ini bercanggah dengan perlembagaan, sekarang kita nak ikut saluran perlembagaan lah,” katanya.