Isnin, 15 Disember 2014

MPP: Gah dengan isu PTPTN dan JPA?




Oleh Ku Hariz Farhan Ku Azman


Pilihan Raya Kampus(PRK) bagi kebanyakan IPTA di seluruh negara sudah selesai dijalankan dengan jayanya. Meskipun terdengar beberapa kes ketidakadilan dan pertandingan yang tidak dijalankan di atas padang yang rata berlaku di sebahagian kampus, namun itulah rencam politik kampus yang juga cerminan kepada corak politik negara kita pada masa akan datang.

Pastinya segudang pengalaman yang berharga dan bernilai dapat dikutip seluruh mahasiswa dan juga calon yang terlibat dalam pesta demokrasi tahunan ini.

Namun yang menjadi persoalan di sini ialah, ke manakah hala tuju barisan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) yang dilantik pasca PRK? Jikalau semasa kempen, parti yang bertanding begitu rancak dalam mencanangkan merekalah yang layak dan berhak memimpin mahasiswa tidak kira mereka yang mengaku sebagai ‘mesra pentadbiran’ mahupun ‘anti establishment’.Tetapi apabila diberi mandat oleh mahasiswa untuk memimpin, hilang sudah suara-suara yang begitu ‘gah’ semasa berkempen dahulu, janji yang ditabur seolah-olah pergi dibawa angin.

Mengapa senario ini sering berlaku saban tahun? Hatta di kampus tua seperti Universiti Malaya (UM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pun tidak terlepas daripada fenomena ini.


Salah Hal Ehwal Pelajar (HEP) yang kejam atau sikap MPP yang terlalu takut?
 
Sebenarnya, pasca AUKU 1971 yang dikuatkuasakan pada 1975 merupakan permulaan kepada episod tragis di universiti, khususnya kepada Persatuan Mahasiswa Universiti (PMU). Jikalau sebelum penguatkuasaan akta, PMU mempunyai kebebasan yang cukup dalam menguruskan hal berkaitan mahasiswa. Sebagai contoh di Universiti Malaya, PMU di sana menjadi penggerak kepada kafeteria, perkhidmatan bas, hinggalah kepada pelaksanaan Minggu Orientasi. Pada masa itu, PMU bukan saja memfokuskan kepada kebajikan mahasiswa semata-mata bahkan turut terlibat dan berpartisipasi dalam isu nasional dan juga antarabangsa.

Bagaimanapun, peristiwa Baling 1974 yang menyaksikan kemuncak perjuangan mahasiswa di negara ini dijadikan lesen dan alasan buat pemerintah mengimplementasikan akta drakonian ini. Sejak itu, mahasiswa tidak lagi lantang dalam membicarakan isu sejagat. Manakala PMU di seluruh universiti dibubarkan dan digantikan dengan satu badan yang seakan-akan PMU iaitu Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) tetapi fungsinya lebih kurang sekadar ‘penghubung’ di antara pentadbiran universiti dan mahasiswa.

Tetapi langit tidak selalunya mendung apabila pada 2012 berlaku pindaan pada akta ini yang membenarkan penglibatan mahasiswa dalam politik. Sedikit sebanyak gerakan mahasiswa mempunyai akses yang sedikit terbuka dalam melibatkan diri dalam isu nasional. Tetapi perubahan ini tidak mendatangkan impak yang begitu besar kepada seluruh mahasiswa di seluruh negara, lebih-lebih lagi kepada MPP setiap kampus.

Mereka masih lagi disihirkan dengan fobia dan ketakutan untuk berbicara soal menegakkan kebenaran dan melawan kezaliman. Setiap kali rapat umum atau piket, bilangan mahasiswa yang bertandang boleh dibilang dengan jari.

Setiap kali pimpinan MPP mengeluarkan kenyataan atau berkomentar mengenai sesuatu isu nasional atau terlibat dengan sebarang aktiviti mahupun program yang menurut tafsiran HEP sebagai ‘anti pemerintah’, maka surat amaran akan dikenakan ke atas mereka sebagai peringatan dan amaran kepada mahasiswa supaya tidak mencampuri secara berlebih-lebihan dalam isu di luar kampus.

Menyebabkan MPP yang dilantik ini terpaksa mengikut ‘alur’ dan ‘rentak’ yang ditetapkan HEP masing-masing iaitu mesyuarat bersama NC/TNC sebulan sekali, memenuhi jemputan agensi luar sebagai wakil universiti dan pemenuh kuota tempat duduk VIP apabila sesuatu program universiti dijalankan.

Tidak perlu kita pergi melangkau jauh, lihatlah kes terbaharu 8 mahasiswa UM yang dikenakan tindakan tatatertib oleh universiti mereka. Sehingga hari ini berapa ramai wakil MPP setiap kampus mengeluarkan kenyataan atau pernyataan berkenaan dengan isu tersebut?Adakah mereka lebih selesa menukar gambar profil serta ‘like’ dan ‘share’ di laman sosial tanpa bertindak dengan lebih progresif daripada itu?

Jikalau beginilah sikap kebanyakan pimpinan MPP, untuk apa kalian dipilih oleh mahasiswa bagi mewakili mereka ke peringkat yang lebih tinggi. Adakah sekadar menurut perintah pentadbiran untuk menjadi calon bagi Pilihanraya Kampus dan hanya ‘angguk dan geleng’ dengan arahan mereka dan tidak menyanggah ‘larangan’ mereka? Adakah kalian lebih suka menonjolkan keberanian kalian hanya sekadar di internet tetapi tidak di lapangan sebenar?

Apa-apa pun, ucapan tahniah sepatutnya diberikan kepada MPP Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM) yang baru dipilih kerana berani dan berprinsip dalam isu 8 rakan mereka yang dikenakan tindakan oleh pihak pentadbiran. Malah mereka dengan beraninya membawa kes ini hingga ke pengetahuan Pro Canselor UM iaitu Sultan Nazrin Shah tetapi dihalang pentadbiran menyebabkan Pro Canselor mereka tidak berkesempatan untuk mendengar sendiri apa yang berlaku di UM.

Tidak sebagaimana di sebahagian kampus lain yang menyaksikan wakil MPP yang dilantik hanya duduk membisu dan memekakkan telinga dengan apa yang berlaku di UM.

Perlu diingat, HEP bukan ‘ayahanda’ dalam universiti. Mahasiswa adalah ‘ayahanda’ yang sebenar dalam universiti dan sepatutnya HEP perlu gentar dengan mahasiswa, bukannya sebaliknya. Kenapa?
Kerana hampir semua aktiviti dan program yang dijalankan, baik di peringkat pentadbiran mahupun mahasiswa bersumberkan daripada yuran yang dibayar setiap semester oleh mahasiswa itu sendiri, bukannya duit daripada HEP. Dalam hal ini, apa faedah yang HEP dapat daripada penindasan ke atas mahasiswa?

MPP PTPTN dan JPA?

Pasca PRK UKM yang lalu, saya terbaca sebuah status mantan MPP PMUKM lepas di mana antara yang disebut adalah beliau ingin mengajarkan ilmu berkenaan dengan isu JPA kepada MPP daripada parti tersebut. Persoalan yang boleh ditimbulkan, adakah sepanjang kepimpinan beliau selama setahun itu hanya diisi dengan isu JPA dan PTPTN saja?Adakah sekadar di situ saja kemampuan kepimpinan anda? Ya, tidak dinafikan isu tersebut amat penting bagi keberlangsungan mahasiswa itu sepanjang pengajiannya, namun amat memalukan sekiranya MPP yang dilantik hanya berdegar-degar dengan isu tersebut serta menjadikannya sebagai modal jajaan kepada mahasiswa beliau merupakan pemimpin yang ‘hebat’.

Perlu diingat, aspek kebajikan mahasiswa hanyalah sekelumit daripada tugas utama seorang MPP. Banyak lagi aspek lain yang jauh lebih penting berbanding isu JPA, jalan raya yang rosak, lampu yang tidak berfungsi dan bas yang tidak mencukupi. Sepatutnya isu yang disebutkan ini perlu dipertanggungjawabkan kepada pihak pentadbiran universiti, bukannya MPP. Pengalaman penulis melihat bagaimana gerak kerja oleh MPP berkaitan dengan isu ‘cliché’ ini menyaksikan aduan demi aduan dibuat namun apa natijahnya daripada pihak pentadbiran?

Kesukaran dan karenah birokrasi yang sememangnya wujud dalam pentadbiran universiti yang menyebabkan isu ini tidak pernah kunjung selesai, menyebabkan wakil MPP yang dilantik terpaksa membuat kerja dua kali dan tidak dapat memfokuskan terhadap agenda yang lebih penting daripada itu. Perlu diingat, wakil MPP hanya mempunyai kuasa untuk menyampaikan aduan, sementara kuasa pelaksanaan di bawah pentadbiran universiti.

Negara semakin kronik: Di mana suara mahasiswa?

Di kala nilai mata wang negara merudum dengan teruk sejak 1997, krisis penyalahgunaan dana 1MDB, kenaikan kos sara hidup yang semakin menyesakkan rakyat, beban hutang negara yang semakin menghampiri paras bahaya dan isu perkauman yang semakin menjadi-jadi sekarang ini. Di manakah suara mahasiswa? Adakah kita hendak bergantung harap kepada politikus yang tua bangka untuk membawa isu ini? Atau parti politik yang belum tentu memberi apa-apa janji yang 100% tepat untuk mahasiswa?

Sedarkah kalian kita merupakan tunas yang sedang tumbuh membesar dan diperhatikan pembeli di sekelilingnya. Jikalau baik tunasnya, yakni cukup makan dan minumnya pasti akan dibeli dan diminati pembeli dan sebaliknya. Begitu juga dengan mahasiswa pada hari ini, di samping ilmu di dalam kuliah, tambahkan juga pengetahuan kita dengan kecaknaan terhadap isu nasional dan global serta keterlibatan bersama jerit perih masyarakat sekeliling. Pasti masyarakat akan tertarik dan menghormati mahasiswa yang dianggap sebagai jurucakap ummah.

Saya tahu, saya tidak layak untuk menulis berkenaan dengan isu ini disebabkan tiada pengalaman sebagai MPP. Namun, cukuplah pengalaman bergerak kerja membantu rakan MPP sebelum ini sebagai bukti kalian adalah aset yang berharga kepada mahasiswa dan masyarakat. Masyarakat di luar sana bukanlah anti terhadap pimpinan mahasiswa, cuma mereka mengharapkan agar kita yang terkehadapan dalam bersama mereka bukannya mereka yang perlu hadir kepada kita.

Sebagai akhirnya, menjadi pimpinan persatuan pelajar biasa tetapi mengetahui segala ilmu dan kemahiran lebih baik berbanding menjadi seorang wakil MPP tetapi lebih selesa dengan mahir dalam satu perkara sahaja tanpa mencabar diri untuk mengetahui ilmu lain.

* Penulis ialah exco Media dan Penerangan Majlis Permuafakatan Mahasiswa Selangor (MPMS).

Tiada ulasan: