Timbalan Pesuruhjaya Pas III Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah Timbalan Pesuruhjaya Pas III Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah
 
 
SHAH ALAM - Jika hukum hudud mahu dilaksanakan di seluruh negara pun, pemimpin MCA dan bukan Islam tidak perlu khuatir kerana ia hanya terpakai terhadap orang Islam sahaja.
 
Demikian kata Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah sambil membidas parti itu yang menggunakan pendekatan menyerang dan mengkritik tanpa memahami hukum hudud terlebih dahulu.
 
"Kalau MCA tidak faham, mari jumpa saya dan sebut apa benda yang dia hendak tahu, kita boleh jelaskan.
 
"Jangan cakap jauh-jauh. Bagi saya mereka (MCA) tidak faham, dia tak nak bertanya, dia hanya menyerang, mengkritik.
 
"Sebab itu saya minta, saya buka pintu kepada MCA Kelantan atau Malaysia, bila-bila masa boleh datang, jumpa dengan kita, kita akan jelaskan satu persatu," katanya kepada Sinar Online, hari ini.
 
Mohd Amar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Kanun Jenayah Syariah berkata demikian mengulas 'kelantangan' pemimpin DAP dan MCA yang membantah pelaksanaan hukum hudud yang bakal dipinda pada sidang khas Dun Kelantan pada 29 Disember ini.
 
Bantahan itu timbul kerana mereka beranggapan Pas mahu melaksanakan hukum hudud di seluruh Malaysia sedangkan pindaan itu hanya mahu dilakukan terlebih dahulu di peringkat negeri itu.
 
Ketika ditanya mengenai permintaan Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli yang mahu Kerajaan Negeri Kelantan memberikan draf pindaan tersebut, Mohd Amar berkata, dokumen itu tidak boleh didedahkan kepada umum sebelum dibentangkan di Dun Kelantan.
 
"Biasanya dokumen (draf pindaan) yang akan masuk dewan (Dun Kelantan) tidak boleh dedah kepada orang awam, sebarang undang-undang ini menjadi bahan sulit kepada kerajaan.
 
"Ia hanya boleh diberikan kepada ahli dewan sebelum persidangan, undi orang awam biasanya kita tidak edar, tetapi mereka boleh dapatkan selepas dari pembentangan dalam dewan," ujarnya.
 
Mohd Amar bagaimanapun berkata, pihaknya sedia mengadakan perjumpaan dengan pemimpin PKR atau mana-mana pihak untuk memberi taklimat mengenainya.
 
"Tapi kalau dia hendak tahu, dapatkan penjelasan, kerajaan negeri bersedia berjumpa dengan Rafizi atau sesiapa saja, bila-bila masa saja.
 
"Kita sentiasa bersedia untuk jumpa, tiada masalah pun," katanya lagi.