KUALA LUMPUR: Jangan bandingkan Umno dengan mana-mana parti pembangkang, tegas Ketua Umno Bahagian Ampang, Datuk Ismail Kijo.
Ujarnya, Umno sarat dengan pemimpin lama ekoran mereka setia bersama parti sejak dari muda sehingga kini.
Berbanding dengan PKR yang sering mendabik dada kononnya mereka memberi
peluang dan ruang kepada anak muda membarisi barisan kepimpinan mereka.
Bagaimanapun, Ismail mengakui Umno perlu memberi ruang kepada anak muda
tetapi bukan dengan cara tergopoh-gapah, yang akhirnya memudaratkan
parti.
"Pada saya, mereka membandingkan kerana pembangkang mengemukakan
golongan muda. Kita kena ingat bahawa PKR adalah sebuah parti baru. Umno
dahulu pun semua pemimpinnya muda.
"(Tetapi) PKR adalah sebuah parti muda, jadi mereka tiada tokoh-tokoh
lama. Berbeza dengan Umno, dan kita tidak pernah menghalang orang-orang
muda mengambil alih tempat orang lama," katanya ketika ditemui
Antarapos, baru-baru ini.
Ismail berkata demikian sebagai mengulas kelantangan rata-rata golongan
muda di dalam parti yang mendesak proses peremajaan parti segera
dilaksanakan dengan memberi peluang kepada mereka.
Malah, Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar semasa ucapan
penggulungan di Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2014 baru-baru ini berkata
Umno perlu mencontohi parti pembangkang, yang memberi ruang kepada anak
muda menyertai jawatan-jawatan penting dalam parti.
Beliau mengambil contoh Setiausaha Politik kepada Lim Kit Siang, Dyana
Sofya Mohd Daud, yang diberikan peluang sebagai calon DAP untuk
bertanding di Pilihan Raya Kecil (PRK) Teluk Intan.
PKR juga turut dibanjiri dengan golongan pelapis antaranya Nurul Izzah
(Naib Presiden), Nik Nazmi Nik Ahmad (Ketua AMK PKR), Amiruddin Shaari
(ADUN Batu Caves) Rafizi Ramli (Naib Presiden) dan banyak lagi.
Sementara itu, dalam memperbaiki gerak kerja Umno dan parti-parti
komponen di dalam Barisan Nasional (BN), Ismail berpendapat perlu ada
kesedaran dan kesungguhan dalam memantapkan komitmen dan prestasi
masing-masing.
"saya mahu Presiden Umno yang juga sebagai komander BN dan yang
menentukan hidup mati BN, beliau (Najib) kena panggil semua
presiden-presiden parti dan beri garis panduan.
"Najib kena ingat, beliau kerja macam mana pun untuk Malaysia, andai
kata beliau lupa strategi untuk parti, kerja yang begitu kuat sekalipun
tidak akan bermakna untuk BN dan beliau," ujarnya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan