Hassan Harun Hassan Harun
 
 
KOTA BHARU - Veteran Umno Kelantan, Datuk Hassan Harun membayangkan Pas Kelantan akan berdepan situasi genting apabila terpaksa berdepan dengan rakan PR yang tidak menyokong hudud di Parlimen.

Menurutnya, Pas kini didakwa semakin terkongkong dengan tindakan sendiri apabila dilihat terpaksa memilih sama ada menjaga kepentingan bersama PR, mahupun meneruskan rancangan melaksanakan hudud tahun depan.

“Sebagaimana yang kita tahu, hudud tidak diterima majoriti ahli PR dan sekarang ini hanya bergantung pada Pas.

Keadaan ini  dilihat mengeruhkan lagi hubungan dalam PR yang sedia ada.

“Pas dilihat semakin sedar dengan apa yang berlaku, mungkin sebelum ini dianaktirikan dan tahu kuasa politik mereka (Pas) hanya di Kelantan, malah di Selangor dan Pulau Pinang pun mereka hanya membantu,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau mengulas kenyataan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang berharap PR menyatakan dengan jelas pendirian gabungan ketiga-tiga parti itu tidak akan melaksanakan hudud jika mahu memenangi PRU14.

DAP juga sebelum ini menegaskan semua 38 ahli parlimen parti itu telah menyatakan secara terbuka tidak akan menyokong sebarang usul rang undang-undang persendirian yang mahu dibentangkan Pas di Parlimen nanti.

Hassan berkata, permainan politik yang terjadi kepada Pas kini dilihat juga semakin meruncing, tambahan pula kini Pas sendiri memiliki dua cabang sokongan berbeza.

“Satu kelompok sokong bersatu dalam PR dan satu kelompok lagi penyokong tegar yang tidak boleh menerima kerjasama Pas dalam PR.

"Maka keadaan ini  akan menjadikan masalah juga kepada mereka, terpulang kepada Pas bagaimana mereka menstabilkan antara kesatuan bersama PR, ataupun menjaga ahlinya,” katanya.