MSO
Kerajaan Kelantan tetap berpegang kepada keyakinan azam dan
kewajiban agama untuk melaksanakan hukum hudud di negeri itu. Walaupun
ada bantahan dan kebimbangan hasrat itu memberi kesan negatif kepada
politik Pas, tetapi ia tidak dipedulikan. Pas Kelantan nampaknya lebih
percaya usahanya itu merupakan fardyu kifayah memenuhi kehendak Islam
dan jika ia tidak dilaksanakan parti agama itu dan ahlinya akan berdosa.
Dalam kata lain Pas memberi keutamaan kepada agama menerusi kuasa yang diperolehi daripada politik.
Barang kali atas keyakinan apa yang dilaksanakan itu adalah amalan yang
akan mendapat imbalan baik maka ia diteruskan juga walaupun berhadapan
dengan risiko termasuk Pas akan kehilangan undi di mana-mana kawasan
campuran seperti mana dianalisa oleh badan-badan pengkaji bebas dan juga
oleh pemerhati politik.
Untuk mensukseskan cita-cita lama Pas itu, Dewan
Undangan Kelantan akan bersidang 29 Disember ini untuk mengemaskinikan
Enakmen Kanun Jenayah Syariah (EKJS II) untuk membolehkan ahli Parlimen
Pas membawa usul persendirian (private bil) dalam Parlimen mengikut
Perkara 76A Perlembagaan Negara.
Pas sangat berharap apabila bil persendirian itu diterima untuk
dibincang di Parlimen dan diluluskan dengan suara 2/3 Enakmen berkenaan
pun dapat dilaksanakan di Kelantan seperti mana dijanjikan kepada
rakyat.
Melihat kepada keseriusan Pas Kelantan untuk melaksanakan hukum hudud
ini ia dibuat bukan bertitik tolak sangat atas tanggungjawab yang
sepatutnya lama dilaksanakan itu. Kenapa saya mengatakan begitu, kerana
kenapa di era Tokguru Nik Abdul Aziz Nik Mat jadi MB, usaha melaksanakan
hudud tidak dilakukan seserius hari ini? Alasan digunakan ialah kerana
Nik Aziz menerima surat ancaman daripada Mahathir Mohamad. Dan apakah
surat atau bentuk ancaman sebegitu tidak ada lagi kini?
Memahami realiti itu, kesungguhan Pas Kelantan hendak laksanakan hudud
hari ini kerana ianya terdesak dengan keadaan dibuatnya sendiri. Rakyat
Kelantan sendiri pun yang faham dengan realiti masyarakat dan implikasi
Perlembagaan Negara tidak membuat tuntutan agar hudud dilaksanakan. Saya
yakin kalau diadakan referendum di Kelantan untuk memilih antara;
hudud, pelabuhan, stadium, lebuh raya, perumahan rakyat, keutamaan
kebersihan, tentu hudud akan terletak di nombor akhir.
Jadi keperluan untuk melaksanakan hukum hudud bagi mengelakkan ada orang
dimakan sumpah sendiri. MB Ahmad Yaakob pernah berkata sekiranya hukum
hudud tidak dilaksanakan tahun depan (2015) beliau akan letak jawatan
sebagai MB.
Exco agama Nasaruddin Daud juga menegaskan hukum hudud akan dilaksanakan
pada tahun 2015. Beliau berani membuat penegasan begitu sedangkan dia
sendiri katanya tidak berada dalam jawatankuasa teknikal hudud? Ertinya
kalau Ahmad Yaakob melepas jawatan beliau juga kena ikut berkorban sama.
Maka Timbalan Menteri Besar Mohd Amar Nik Abdullah mengambil inisiatif
mengatur kerjasama dengan Jakim untuk merealisasikan harapan dan
cita-cita Pas dan Ahmad Yaakob itu. Apakah usaha Mohd Amar itu hendak
mempertahankan kedudukan Ahmad atau pun sebaliknya? Ia sebagai satu
helah politik?
Mohd Amar juga nampak yakin yang hudud akan dilaksanakan di Kelantan,
tetapi beliau masih berlapik tidak mahu menjadikan dirinya sebagai
gadaian dan tebusan, dimana beliau tidak berundur kalau pun hudud tidak
dapat dilaksanakan. Keadaan ini menyebabkan Ahmad Yaakob telah
meletakkan dirinya dalam keadaan tertekan dan menjadi tebusan. Dan
sekiranya hukum hudud masih gagal dilaksanakan di Kelantan tahun depan
maka MB nya pastilah berubah.
Saya bersetuju semua pihak perlu hormat kepada Pas Kelantan atau Pas
Malaysia hendak laksnakan hudud sebab itu adalah sebahagian daripada
cita-citanya. Sebagai parti agama menjadi keutamaan melaksanakan
tuntutan agama. Kerana Pas menyakini hudud adalah tuntutan agama maka ia
perlu diusahakan untuk melaksanakannya.
Dalam soal hudud ini Pas tidak melihat kepada untung rugi politik. Pas
benar-benar mengambil kira berkat dan rahmat daripada Allah apabila
hukum itu dilaksanakan. Kalau dikira dari sifir politik Pas akan
mengalami suasana negatif dengan cita-citanya itu. Hal inilah yang
diambil kira oleh DAP dan PKR yang menjadi rakan kongsi Pas. DAP dan PKR
bimbang mereka akan kehilangan undi daripada golongan yang anti hudud
apabila Pas tetap dengan pendiriannya.
Inilah konflit dan polemik politik Pakatan Rakyat. Perbezaan pendirian
dan iltizam perjuangan ini meletakkan Pas dalam isu hudud ini
seakan-akan tidak sekata dengan DAP dan PKR. Meneliti kepada
perseselisihan ini, menjelaskan bahawa kerjasama dan hubungan Pas dengan
DAP khasnya bermasalah dan tidak mustahil hubungan parti itu renggang
dalam pilihan raya akan datang.
Mungkin kalau isu hudud ini tidak dapat diselesaikan dengan baik,
sokongan untuk Pakatan Rakyat dalam pilihan raya akan datang tidak
sehebat sebelum ini. Situasi inilah yang didoa dan ditunggu-tunggu oleh
musuh Pakatan. Tetapi itu tidak menjadi masalah kepada sesetengah
pemimpin Pas kerana bagi mereka melaksanakan apa yang Tuhan suruh sudah
merupakan satu kejayaan walaupun dengan pelaksanaan itu mengalami
kerugian.
Mereka yakin hudud tidak menjadi isu politik yang merugikan mereka.
Mereka percaya pengundi Islam akan bersama mereka. Penyokong di
negeri-negeri majoriti Melayu seperti Kelantan, Terengganu dan Kedah,
tidak memberi kesan kepada Pas. Jadi Pas Kelantan boleh berkeras dengan
cita-citanya kerana ia tidak memberi kesan kepada Pas? Tetapi atas
semangat kerjasama dan memelihara pengaruh Pas di luar negeri, Pas harus
berfikir dua kali. Di sinilah tampaknya tidak ada pengertian politik
matang daripada Pas Kelantan. Hal ini bukan sekarang tetapi sejak lama
dulu di mana Pas Kelantan sangat ego dengan sejarahnya.
Persoalannya apakah Pas Kelantan berfikir untuk Kelantan semata-mata
tetapi membiarkan rakan di negeri-negeri lain yang baru didekati
pengundi terus diterkam masalah? Di sinilah memerlukan pandangan jauh
dan kebijaksanaan dalam politik. Sudah pasti mana-mana calon Pas di luar
Kelantan yang mengharapkan sokongan bukan Melayu akan terjejas
gara-gara kegilaan Pas Kelantan hendak laksanakan hukum hudud.
Dengan menghormati keputusan Pas Kelantan itu, apakah Pas Kelantan
mengira hasratnya tercapai. Apakah bil persendirian itu akan mendapat
sokongan dan diluluskan oleh parlimen? Pas mungkin sedar akan hakikat
kesulitan ini. Untuk membolehkan hudud dilaksanakan, Parlimen kena
menerima dan meluluskan bil persendirian bertujuan meminda Perlembagaan
dibawa oleh wakil Pas itu. Dan mana-mana perkara melibatkan Perlembagaan
sokongan 2/3 diperlu.
Apakah Pas merasakan ia akan mendapat sokongan 2/3? Katakan kesemua
anggota Umno seramai 88 orang menyokong usul persendirian Pas itu, ia
masih lagi belum mencukupi. Bila dicampur dengan anggota Pas seramai 21
baru 109 undi masih tidak sampai 2/3 undi. Sudah pasti wakil daripada
DAP dan PKR tidak akan memberi sokongan. Kalau ini berlaku bermakna bil
persendirian itu menjadi sia-sia sahaja.
Sebab itu saya katakan Pas faham akan masalah ini. Kenapa ia tetap juga
mahu bawa ke Parlimen kerana beberapa faktor yang mudah untuk diteka.
Pas ingin menunjukkan yang mereka serius dengan hudud walaupun untuk
melaksanakan dalam keadaan tidak memiliki kuasa amat mustahil. Dalam
kata lain Pas hendak menggambarkan yang diri mereka Islami.
Selain itu pengemukaan usul persendirian itu juga sebagai untuk menguji
pendirian ahli Parlimen Umno. Apakah mereka akan menentang atau pun
menyokong. Bagi Pas, mereka suka kalau tiba-tita ahli Umno menentang
kerana tentangan itu akan dijadikan modal politik. Oh, ertinya Pas juga
berpolitik dengan hudud?
Saya yakin Speaker akan membenarkan usul persendirian itu dibahas pada
penghujung sidang bagi mengelakkan kerajaan BN yang ditulangi Umno
dianggap dan dicerca Pas sebagai anti Islam. Tetapi saya tidak yakin
Parlimen akan menerima dan meluluskan usul berkenaan. Mungkin bagi Pas
Kelantan kebenaran oleh Speaker untuk membaca usul itu sudah satu
kejayaan. Setidak-tidaknya Ahmad boleh melepaskan dirinya dari kusut
sumpah dan janjinya.
Natijahnya sama usul itu lulus atau pun tidak, hudud telah menjadi
liabiliti kepada politik Pas dalam berangkaian dengan Pakatan Rakyat.
Kesimpulannya Pas Kelantan mendapat pahala akhirat tetapi terlepas
kemewahan dunia dengan hudud. Dan Ahmad Yaakob tetap kena laksanakan
sumpah dan janjinya kalau Dewan menolak usul berkenaan sekiranya ia
diterima untuk dibahas.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan