Isnin, 15 Disember 2014

Guan Eng sedia jumpa mufti P Pinang

MALAYSIAKINI



 
 
 
Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng bersedia untuk berjumpa mufti negeri Datuk Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berhubung isu penggunaan kalimah Allah di kalangan orang bukan Islam di negeri ini.
 
Katanya berjumpa dengan mufti negeri bukan isu sama sekali dan beliau bersedia untuk menjelaskan undang-undang (Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri 2004) sedia ada.
 
"Saya bersedia berjumpa (mufti) dan kami boleh beritahu mereka ini adalah mengikut undang-undang," katanya kepada pemberita di George Town hari ini.
 
Sabtu lepas, Mufti Pulau Pinang menyuarakan hasrat untuk berjumpa dengan ketua menteri bagi memberi penjelasan tentang isu penggunaan kalimah Allah kepada orang bukan Islam di negeri ini.
 
Menurut Wan Salim, Majlis Fatwa negeri telah mewartakan perkataan Allah serta 40 lagi perkataan berkaitan Islam lain yang tidak boleh diguna pakai orang bukan Islam di negeri ini. 
 
Lim sebelum ini dilapor berkata larangan penggunaan kalimah Allah yang termaktub dalam Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Pulau Pinang 2004 tidak terpakai kepada bukan Islam kerana penguatkuasaannya hanya sah kepada orang Islam. 
 
Bagaimanapun, Wan Salim dilaporkan berkata apabila ia sudah diwartakan oleh Majlis Fatwa, perkara itu bukan sahaja terpakai kepada orang Islam tetapi juga untuk orang bukan Islam kerana ia di bawah perkenan Yang di-Pertuan Agong selaku Ketua Agama Islam bagi negeri yang tiada raja seperti Pulau Pinang.
 
Sementara itu, Lim sekali lagi menyuarakan kekesalan terhadap pihak yang menentangnya dalam isu kalimah Allah dan mendakwa MCA yang terlebih dahulu membangkitkan isu itu dengan mencabar kerajaan negeri memansuhkan Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Pulau Pinang 2004 supaya penganut Kristian di Pulau Pinang  boleh menggunakan kalimah Allah.
 
"Umno patut buat laporan (polis) terhadap MCA. MCA yang minta dimansuhkan Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Pulau Pinang 2004. Kenapa apabila mereka yang minta supaya dimansuhkan, saya dipersalahkan?," katanya.- Bernama

Tiada ulasan: