shahbudindotcom
Ada
pelbagai cerita gembira, sedih dan lucu yang melibatkan perangai atau
kelakuan manusia yang boleh kita dengar jika rajin berbual dan
berceloteh dengan mereka. Kadang-kadang pula, dengan rajin memasang
telinga juga membolehkan kita mendengar bermacam-macam cerita.
Walaupun
Putrajaya adalah sebuah bandar pentadbiran yang indah, moden,
mengkagumkan dan bertaraf kelas pertama tetapi tanpa di sangka masih ada
kakitangannya yang berminda lekeh umpama kelas ketiga, terutama
berkaitan dengan makanan.
Jika
selalu kita dengar yang membungkus makanan atau "tapau" selepas jamuan
adalah kalangan kakitangan rendah seperti kerani dan setaraf dengannya,
itupun untuk mengelakkan makanan itu terbuang begitu saja, rupa-rupanya
fenomena "tapau" ini juga menjadi habit di kalangan bos-bos, orang
atasan dan yang bergelar Datin sekali pun.
Di
sebuah jabatan yang terkenal di Putrajaya di mana kerap mengadakan
mesyuarat-mesyuarat penting melibatkan kepentingan negara, penyedia
makanannya bukanlah syarikat katering biasa tetapi adalah daripada
sebuah hotel yang berbintang-bintang tarafnya.
Setiap
kali diadakan mesyuarat, bos di jabatan tersebut selalunya akan
mengarahkan kakitangannya membuat tempahan yang lebih daripada jumlah
kehadiran. Misalnya, jika yang hadir mesyuarat seramai 20 orang, maka
akan diminta membuat tempahan makanan untuk 30 orang daripada hotel
tersebut.
Maknanya,
20 hidangan untuk keperluan mesyuarat manakala yang 10 lagi itu ialah
untuk keperluan peribadi bos bergelar Datin itu. Sudah tentu semua bil
jamuan itu dibayar melalui peruntukan kerajaan.
Apa
yang lebih menjengkelkan, bos yang popular dengan gelaran "Datin Tapau"
itu juga mahukan bahagiannya itu dibungkus dalam bekas berasingan dan
dihantar kepadanya lebih awal sebelum mesyuarat bermula.
Ini
menyebabkan kakitangan jabatan berkenaan dan petugas katering
seringkali kelam-kabut setiap kali menyediakan makanan di jabatan
tersebut kerana terpaksa memenuhi dua keperluan dalam satu masa.
Tetapi
oleh kerana Datin tersebut merupakan bos di jabatan itu, maka
kehendaknya terpaksa dituruti tanpa banyak soal sama ada oleh kakitangan
bawahannya atau pun petugas katering.
Cerita
"Datin Tapau" ini bukan saja sudah menjadi bualan di kalangan
kakitangan jabatan berkenaan tetapi juga di antara sesama petugas hotel
yang ditugaskan menyediakan makanan itu.
Mereka
kadangkala hairan bila ketikanya "Datin Tapau" itu mahu menjamah
makanan yang "disonglap secara licik" dengan menggunakan duit kerajaan
itu dan adakah kesemua makanan itu untuk keperluannya bersama
kawan-kawannya ataupun mahu dibawanya pulang untuk hidangan ahli-ahli
keluarganya?
Apa
yang merisaukan petugas hotel berkenaan juga ialah hidangan yang
ditapau itu bukan saja hidangan makan tengahari atau minum petang,
bahkan termasuk juga hidangan sarapan pagi.
Mereka
bimbang, jika hidangan sarapan pagi misalnya dibawa pulang ke rumah
oleh Datin tersebut setelah tamat waktu pejabat, ianya mungkin terdedah
kepada keracunan makanan yang boleh memudaratkan kesihatan.
Sepertimana
yang disebut tadi, cerita membungkus atau membawa balik makanan mungkin
menjadi lumrah di kalangan kakitangan bawahan, tetapi tentulah agak
luar biasa jika di kalangan bos-bos yang bergelar Datin juga berperangai
sama.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan