Khamis, 18 Disember 2014

Ahli MIC berhimpun bantah mesyuarat CWC

MALAYSIAKINI


 


Ratusan ahli MIC berkumpul di luar bangunan ibu pejabat parti di Kuala Lumpur petang ini bagi menuntut presidennya, Datuk Seri G Palanivel meletak jawatan.

Perhimpunan itu diadakan ketika Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) sedang bermesyuarat berhubung kemungkinan mengadakan semula pemilihan parti itu.

 



Satu kain rentang besar turut dipasang di satu jejambat yang menghadap bangunan MIC tersebut, yang memaparkan gambar Palanivel dan tulisan “Please step down (Sila letak jawatan)”.

Beberapa kain rentang lain dengan mesej yang sama turut dipasang di sekitar kawasan tersebut.

Sementara itu, sekumpulan 100 ahli MIC turut berarak bagi membantah keputusan untuk mengadakan mesyuarat CWC.

Kumpulan itu mendakwa, mesyuarat berkenaan “tidak sah” kerana anggota jawatankuasa terbabit tidak diiktiraf oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).

Seorang ahli MIC turut berucap dengan menggunakan pembesar suara di hadapan bangunan tersebut.

Tindakan itu tidak disenangi pengarah strategi parti, Datuk Seri S Vell Paari, yang berteriak dari satu tingkap di tingkat atas bangunan tersebut.

“Jangan bercakap dengan pembesar suara, ada mesyuarat sedang berlangsung di sini,” katanya.

Perhimpunan berkenaan diawasi sepasukan anggota polis, termasuk Unit Tindakan Ringan, manakala jalan menuju ke bangunan tersebut juga ditutup.

ROS membatalkan pemilihan untuk jawatan tiga naib presiden dan 23 anggota CWC yang diadakan semasa pemilihan agung parti tersebut di Melaka November lalu.

Palanivel pada minggu lalu berkata, mesyuarat CWC akan membincangkan “beberapa perkara yang tidak pasti” dalam surat ROS.

Mesyuarat CWC itu bermula jam 2 petang dan dijangka tamat jam 5 petang.

Tiada ulasan: