ZAID IBRAHIM


KUALA LUMPUR - Bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mohd Zaid Ibrahim akan membuat kemunculan semula dalam arena politik.

Hari ini, beliau mengumumkan hasrat untuk bertanding dalam PRK Dun Kajang.

Melalui tulisan terbaharu dalam laman blognya, Mohd Zaid berkata, bertanding sebagai calon bagi kerusi itu akan membolehkannya menyentuh pelbagai isu politik dan ekonomi yang sedang melanda negara.

"Menulis dalam blog saya (www.zaid.my) memang menyeronokkan, tetapi bagus juga kalau dapat bercakap terus kepada orang ramai secara bersemuka, mendengar apa yang hendak mereka sampaikan dan sudah tentu, menikmati hidangan sate bersama mereka.

"Peluang bercakap dengan pengundi Kajang juga akan mengukur sejauh mana sesetengah idea saya diterima, yang kemudian boleh dijadikan maklum balas berguna untuk pembuat dasar kita," kata beliau dalam tulisan bertajuk 'Mulling for Kajang' yang tersiar hari ini.

Mohd Zaid berkata, beliau telah menyenaraikan beberapa perkara yang akan disuarakan dalam tempoh berkempen, termasuk kepentingan memerangi punca polarisasi kaum, usaha memulihara keamanan dan perpaduan antara umat Islam dan bukan Islam serta program ekonomi dan pendidikan bagi membina kemahiran.

Zaid juga berkata beliau akan meminta penjelasan daripada Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim tentang keputusan parti itu merancang agar pilihan raya kecil itu diadakan, yang dianggap sesetengah pemerhati sebagai suatu pembaziran.

"Sudah tentu saya akan minta Anwar Ibrahim beri penjelasan kenapa beliau mengatur rancangan agar pilihan raya kecil ini diadakan. Apa yang akan beliau buat dengan rezab Selangor dalam usahanya membawa kemegahan kepada negeri itu," katanya.

Zaid dilantik sebagai senator pada Mac 2008, sebelum menganggotai Kabinet, tetapi mengemukakan surat peletakan jawatan enam bulan kemudian.

Beliau menjadi pemimpin Umno dari 1984 hingga dipecat daripada parti itu pada Disember 2008, antara lain, kerana didakwa menghadiri perhimpunan anjuran pembangkang.

Pada 2009, beliau menganggotai PKR dan bertanding sebagai calon parti itu dalam pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor pada 2010, tetapi kalah kepada Ketua Penerangan MIC ketika itu P. Kamalanathan dengan 1,725 undi.

Berikutan beberapa konflik dalaman, Zaid yang ketika itu menyandang jawatan pengerusi PKR Wilayah Persekutuan, meninggalkan parti tersebut dan kemudian menubuhkan Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (Kita), dengan menjadi presiden pertamanya pada Disember 2010.

Sejak itu, peguam terkemuka dan pemilik satu daripada firma guaman terbesar di Asia Tenggara ini, tidak lagi mendapat perhatian dan parti itu juga kalah dua kerusi parlimen serta 11 kerusi negeri yang ditandinginya pada Pilihan Raya Umum 2013. Beliau tidak bertanding pada pilihan raya umum lepas.

Zaid adalah orang kedua yang menyuarakan hasrat untuk bertanding sebagai calon dalam pilihan raya kecil Kajang bagi menentang Anwar, selepas Senator Datuk S. Nallakarupan, yang juga Presiden Parti Bersatu India Malaysia dan bekas pembantu kepada peguam bela Anwar berbuat demikian.

Kerusi Dewan Undangan Negeri Kajang dikosongkan secara mengejut oleh Lee Chin Cheh daripada PKR pada 27 Jan.

Sehari kemudian, Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata parti itu membuat keputusan meletakkan Anwar sebagai calonnya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 11 Mac sebagai hari penamaan calon dan 23 Mac sebagai hari pengundian bagi pilihan raya kecil berkenaan.- Bernama