Jumaat, 21 Februari 2014

Selangor arah Syabas aktifkan pelan kecemasan

 
HARAKAHDAILY 


KUALA LUMPUR:  Kerajaan Selangor telah mengarahkan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) mengaktifkan pelan tindakan kecemasan termasuk mengagihkan air berjadual kepada pengguna di kawasan-kawasan yang mengalami gangguan bekalan air.

Dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan hari ini, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, Syabas akan mem

Menurut beliau,  pengagihan air berjadual itu akan diteruskan sehingga 31 Mac  sekiranya bekalan air terputus dan tekanan air rendah masih berlaku.

"Kita juga telah mengarahkan pihak berkuasa tempatan (PBT)  yang terlibat untuk menghantar bekalan air kepada penduduk yang terjejas di samping memastikan lif-lif rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) berfungsi  bagi memudahkan penduduk mengangkut air.

"Selain itu,  kita meminta pihak Konsortium ABBAS Sdn Bhd, syarikat milik Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) supaya membekalkan air minuman kepada penduduk yang terlibat," jelas beliau.

Abdul Khalid bagaimanapun menambah, kemampuan bekalan air kecemasan ini amat terhad dan tidak mampu memenuhi kesemua permintaan pengguna pada waktu yang sama.

Sehubungan itu beliau menasihati pengguna supaya berjimat cermat dan mengelak sebarang pembaziran supaya lebih ramai pengguna mendapat bantuan air kecemasan ini.

"Kerajaan Selangor memandang serius gangguan bekalan air tidak berjadual yang melibatkan beberapa kawasan di negeri ini,  Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya yang berlaku sejak kebelakangan ini.

"Beberapa kawasan di Hulu Langat dan Kuala Langat yang melibatkan kira-kira 27,000 rumah  terputus bekalan air kerana Loji Rawatan Air (LRA) Cheras Batu 11 dan LRA Bukit Tampoi masih ditutup semenjak 28 Januari lalu disebabkan pencemaran kandungan ammonia yang tinggi di Sungai Langat," ujarnya.

Dalam masa yang sama, beberapa kawasan di sekitar Hulu Langat, Kuala Langat, Kuala Lumpur dan Petaling Jaya yang melibatkan kira-kira 75,000 rumah  juga terputus bekalan air dan tekanan rendah sejak kebelangan ini disebabkan pertambahan permintaan air  yang mendadak ekoran cuaca panas kering dan kekurangan hujan.

Kerajaan Selangor, tambah Abdul Khalid akan memaklumkan perkembangan terkini dari semasa ke semasa dan berharap rakyat memahami keadaan ini disebabkan cuaca panas dan kering yang di luar kawalan manusia.

Pengguna yang memerlukan bantuan boleh menghubungi talian bebas tol PUSPEL SYABAS di talian 1-800-88-5252 atau Pusat Khidmat Setempat SYABAS yang turut dibuka di kawasan-kawasan yang terjejas.

Tiada ulasan: