Ahad, 23 Februari 2014

Rumah exco Pahang dipecah masuk, rugi RM10,000

MALAYSIAKINI




Anggota exco negeri Datuk Shahiruddin Ab Moin mengalami kerugian hampir RM10,000 setelah rumahnya di Medan Tok Sira dekat sini dipecah masuk dalam kejadian awal pagi semalam.
  
Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Mohd Jasmani Yusoff berkata, kejadian disedari kira-kira pukul 3.05 pagi oleh anak lelaki anggota exco itu yang ketika itu baru tiba dari Kuala Lumpur.
  
"Pengadu mendapati pintu dapur rumahnya terbuka dan atap genting tercabut.
  
"Hasil pemeriksaan mendapati semua bilik di rumahnya berselerak dan sebuah televisyen LCD 60 inci di ruang tamu dan alat mainan video yang diletakkan dalam bilik tidur pengadu telah hilang," katanya kepada Bernama.
  
Beliau berkata, anak exco itu, seorang pelajar institusi pengajian tinggi kemudian membuat aduan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan pada jam 5 pagi.
  
Mohd Jasmani berkata, suspek dipercayai memasuki rumah menerusi bumbung dan keluar melalui pintu bilik dapur dengan mengumpil jeriji besi.
  
"Polis bagaimanapun berjaya menemui kesan cap jari yang ditinggalkan dan sedang mengesan suspek," katanya.
  
Tiada siapa di rumah itu ketika kejadian tersebut berlaku oleh kerana Shahiruddin, pengerusi jawatankuasa koperasi, keusahawanan dan kepenggunaan negeri, yang juga Adun Dong, dikatakan keluar melawat kawasannya bersama keluarga.-Bernama

Tiada ulasan: