Seliter petrol RON95 RM2.10 di stesen minyak biasa dijual di estet antara RM4.50 dan RM5 setiap 1.5 liter.
SANDAKAN : Harga petrol, barangan kawalan 100% lebih tinggi di estet kelapa sawit di pedalaman Sabah.
Harga seliter petrol RON95 yang biasa didapati pada RM2.10 di stesen minyak biasa didapati dijual di kedai-kedai runcit di estet pedalaman pada harga antara RM4.50 hingga RM5 setiap 1.5 liter.
Kedai-kedai runcit kecil berkenaan menjual petrol dalam bekas botol air mineral bersaiz 1.5 liter, dan menjadi satu-satunya pilihan bagi para pekerja dan keluarga yang tinggal jauh dalam estet di pedalaman Sandakan dan Lahad Datu.
Walaupun ditegah pihak berkuasa, petrol berkenaan masih dijual dalam bekas-bekas botol air 1.5 liter bagi memudahkan kedua-dua pihak penjual dan pembeli, termasuklah penunggang motorsikal yang agak ramai.
Menurut seorang peruncit, harga petrol terpaksa dinaikkan sebab kos pengangkutan adalah sangat tinggi, lagipun tiada stesen minyak yang berdekatan untuk para pengguna petrol mengisi kenderaan mereka.
“Ini minyak bukan saya suka-suka naik harga mah, orang minta tolong beli jual dari bandar, mana kita jual harga sini harga lebih murah dari bandar, ini sangat jauh masuk hutan, kita pun guna minyak pergi angkat lagi kereta pun kadang-kadang rosak,” kata seorang Apek yang juga bekerja di ladang senaraian Bursa Saham Kuala Lumpur dekat sempadan Sandakan-Lahad Datu.
Katanya, kadang-kadang dia terpaksa ke pekan Kinabatangan mengambil bekalan minyak terutamanya petrol.
Tionghua dan Bugis
Kebanyakan kedai runcit yang menjual minyak tersebut adalah kaum Tionghua dan Bugis yang juga kakitangan atau ada kaitan dengan pengurusan ladang-ladang berkenaan.
Seorang lelaki pekerja estet yang sempat ditemui FMT berkata, mereka di estet tidak merungut harga petrol yang begitu tinggi kerana faham kedudukan mereka amat jauh dari pusat bandar yang menjadi tumpuan bekalan dan borongan.
Sebaliknya, kata pekerja itu, pihak kerajaan sepatutnya mengambil kira keadaan ribuan pekerja dan keluarga mereka yang bekerja di estet-estet yang jauh di perosok hutan apabila memberikan subsidi minyak.
“Mungkin kerajaan boleh berbincang dengan pihak syarikat perladangan bagi membolehkan kami membeli petrol di kawasan ladang pada harga bersubsidi iaitu pada RM2.10 seliter bagi RON95 tapi kenalah memikirkan kaedah yang sesuai,” katanya yang hanya mahu dikenali sebagai Joe saja.
Menurut Joe, mujurlah majikannya ada memperuntukkan sedikit elaun minyak motorsikal untuk membuat kerja rondaan di ladang, kalau tidak dia terpaksa membelanjakan wang yang lebih banyak untuk perjalanan seharian motornya.
Menurut penyata kerajaan setakat 10 Januari, 2014, kerajaan Malaysia masih memberi subsidi sebanyak 63 sen bagi setiap liter RON95 kepada warganegaranya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan