Jumaat, 21 Februari 2014

Pertahan Kassim: Mahathir perlu letak jawatan YDP Perkim



HARAKAHDAILY 


KUALA LUMPUR: Hampir 1,000 umat Islam hari ini berhimpun di perkarangan Masjid Negara sejurus solat Jumaat bagi membantah kebiadaban pelopor antihadis Kassim Ahmad.

Rata-rata mereka membawa playkad antaranya bertulis "Ambil tindakan segera", "Kassim Ahmad taubat", "Pertahan Islam" serta "Kassim Ahmad pesong akidah umat Islam".

Mereka mendesak pihak berkuasa segera megambil tindakan terhadap Kassim yang secara terang-terangan mengeluarkan kenyataan bertentangan dengan akidah Islam.

Kassim dalam satu seminar yang diadakan di Putrajaya pada Ahad lalu dilaporkan  mengkritik “kasta paderi” yang dipanggil ulama, pendewaan terhadap Nabi Muhammad s.a.w. dan berkata rambut bukan aurat wanita.

Seminar 'Pemikiran Kassim Ahmad: Satu Penilaian' itu turut dihadiri bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan Mohamad Noor Mohamad ketika berucap menyelar tindakan Dr Mahathir yang menyokong pandangan Kassim Ahmad dan menyifatkannya sebagai memalukan negara apatah lagi beliau ialah Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim).

"Dia yang rasmi seminar tersebut, maka jelas kepada kita bahawa Mahathir merestui pemikiran Kassim Ahmad.

"Kita desak supaya Dr Mahathir meletakkan jawatan beliau sebagai Yang Dipertua Perkim," kata beliau.

Gambaran salah

Dalam pada itu, Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, tindakan membisu pihak berkuasa terhadap Kassim Ahmad dan pada masa sama dipertahan pula oleh Mahathir, telah memberi gambaran salah kepada dunia.

"Seolah-olah kita memberi gambaran bahawa Malaysia, sebuah negara umat Islam, perdana menterinya Islam, menteri-menteri besar beragama Islam, bersekongkol dan membenarkan ajaran sesat ini diamalkan," kata beliau.

Khairuddin yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus turut mendesak Yayasan Kepimpinan Perdana selaku penganjur seminar pemikiran Kassim Ahmad, untuk memohon maaf secara terbuka kepada seluruh umat Islam.

Beliau juga menyeru semua umat Islam menggunakan semua medium yang ada termasuk laman sosial untuk menyatakan bantahan terhadap pemikiran sesat tersebut.

Sementara itu, Ketua Dewan Ulamak PAS Wilayah Persekutuan Ustaz Azhar Yahaya berkata, amat malang apabila fatwa sesat terhadap Kassim Ahmad yang telah diwartakan sejak 30 tahun lalu hanya dipandang sebelah mata oleh penguatkuasa agama.

"30 tahun sudah difatwakan sesat, tetapi Kassim Ahmad terus dibiarkan menyebarkan fahaman beliau.

"Tentu ada tangan-tangan di belakang dia sehingga dia kebal dari tindakan undang-undang," kata beliau.

Turut berucap pada himpunan itu Timbalan Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan Kamaruzzaman Mohamad.

Tiada ulasan: