Sabtu, 8 Februari 2014

Konsensus nasional untuk selamatkan Najib?

DETIK DAILY 


Negara ditimpa krisis demi krisis. Bukan sekadar isu barang naik yang meresahkan rakyat. Sentimen perkauman dan agama juga ghairah dibakar. Perdana Menteri, Najib Razak bukan saja dilihat tidak berupaya menawarkan formula penyelesaian, malah menyebabkan masalah kian rumit.

Wakil Harakah, AHMAD LUTFI OTHMAN menemubual AJK PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad, 30 Januari lalu, termasuk menyorot persoalan Konsensus atau Rekonsiliasi Nasional, yang baru dikemukakan.

HARAKAH: Tiba-tiba saja kita mendengar satu ungkapan baru, iaitu Konsensus Nasional. Apa yang sebenarnya Dr faham tentang hal ini?
 
DR DZULKEFLY AHMAD: Apa pun istilahnya, konsensus atau permuafakatan  atau rekonsiliasi atau muzakarah, ia dicetuskan ekoran kedudukan rakyat di negara ini. Tentunya saya lebih suka ungkapan Permuafakatan Kebangsaan sebab ia mudah difahami oleh semua, termasuk cerdik-pandai dan orang awam.

Apabila tadbir urus normal  atau secara biasa tidak lagi mampu untuk menangani pelbagai keberantakan yang dihadapi rakyat di sesebuah negara maka kepimpinan serta kerajaannya wajar cepat sedar bahawa ‘pengurusan luar-biasa’ mesti digerakkan segera.

Nah, inilah yang difahamkan dengan maksud 'pengurusan luar-biasa’ atau dengan kata lain ‘pengurusan krisis’ bagi menangani kemelut dan kegawatan yang semakin meruncing.

Betulkah suasana negara ini telah menjadi satu kemelut atau ia sekadar satu mainan persepsi pembangkang yang sengaja mahu melihat negara ini  huru-hara? 

Ya, mungkin ada pihak yang menuduh Pakatan atau NGO yang dilihat propembangkang sahaja yang bercakap tentang kemelut atau krisis. Atau ada yang kata ini semua salah Dato' Seri Anwar Ibrahim dan segalanya rekacipta Anwar!

Saya bawa saudara ke pengamatan sebuah akhbar asing yang independen dan berwibawa, yakni portal Asia Sentinel yang berpangkalan di Hong Kong: “Najib is in the weakest position any prime minister in Malaysia has ever been,” the businessman told Asia Sentinel, speaking on condition of anonymity.  Terjemahannya.“Najib berada pada kedudukan yang paling lemah berbanding semua Perdana Menteri Malaysia yang lalu”.

Sampai begitu sekali?
 
Tidak akan wujud persepsi ini kecuali kalau seorang PM dilihat sudah hilang kawalan dan keupayaan menangani masalah yang dihadapi rakyat. Lebih mencabar lagi, Asia Sentinel mendedahkan bahawa kenyataan itu dibuat oleh pimpinan Umno yang mahu namanya dirahsiakan.

Mengapa Dato' Seri Najib yang menang PRU13 tiba-tiba mendapati dirinya dalam krisis? 

Saya kira sebab terpenting adalah kerana Najib berpatah balik dan memungkiri janji-janjinya dalam pilihan raya. Rakyat  marah kerana mereka rasa tertipu. Semua pihak marah.

Bukan sahaja pengundi yang 52 peratus menyokong Pakatan tetapi termasuk golongan 47 peratus  yang menyokong Umno-BN pun marah.

Kini pimpinan lama Umno atau ‘warlords’ Umno seperti Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Daim Zainuddin pun marah. Blogger Umno seperti Dato' Kadir Jasin dan Dato' Ahirudin Atan atau Rocky Bru pun turut mengkritik  Najib.

Masakan Najib sebegitu lemah? 

Najib dilihat sangat lemah dan gagal mendepani pelbagai masalah rakyat secara serius, berani dan konsisten. Najib dilihat macam tak ada tulang belakang. Bahkan ramai golongan bijak pandai menyebutkan sudah tidak ada kepimpinan di negara ini. Negara semacam pesawat yang dipandu sendiri atau ‘auto-pilot’.

Perbuatannya tak sekata dengan retorik besarnya pada setiap upacara dan hari keraian besar kaum dan agama. Seruannya  ke arah perpaduan atau usaha membanteras rasuah atau anjuran berjimat ditanggapi dengan sinis.

Kemuncaknya ialah cubaan beliau untuk meyakinkan rakyat tentang  pentingnya kuasa pasaran ‘permintaan-perbekalan’ atau ‘supply-demand’ tidak dirosakkan oleh subsidi. Malangnya Najib menggunakan contoh kangkung!

Sekarang Najib dikangkungkan dek rakyat. Ini belum pernah berlaku dalam sejarah politik tanah air. Selemah-lemah Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi) pun, tak pernah dikangkungkan dek rakyat!

Sebenarnya apaisu-isu besar sehingga mencetuskan krisis besar ini? 

Tidak sukar untuk kita fahami senario ini. Saya kira ada tiga isu besar.  Satu, barang naik; dua, pertentangan agama, khasnya penggunaan Kalimah Allah; dan ketiga, keberantakan pendidikan nasional.

Barang naik adalah krisis ciptaan Putrajaya. Najib adalah dalang kenaikan harga barang sekarang ini. Rakyat sudah mula faham. Subsidi ditarik balik dan dikurangkan sebab kerajaan pusat berhutang besar.

Kerajaan berhutang besar sebab kerajaan BN khasnya Najib boros berbelanja dan banyak wang tiris kerana rasuah dan kecuaian serta memberi pelbagai projek kepada kroni termasuk konsesi air, elektrik dan lebuh raya yang terlalu menguntungkan suku-sakatnya.

Sekarang rakyat pula yang  dicekik untuk hutang dibayar dan perbelanjaan dikurangkan tapi pemimpin masih boros dan mewah berbelaja.

Bagaimana dengan isu kalimah Allah yang nampaknya lebih panas dimainkan? 

Isu kalimah Allah lebih rumit dan lebih meruncing lagi. Pertentangan dalam tuntutan ini sekali gus mengheret rakyat yang beragama  Islam dan Kristian, seolah-olah bersedia untuk ‘bertempur’.

Dengan pihak-pihak NGO seperti Perkasa, Isma dan Jati yang bersedia ‘mengukur pedang’ serta dibela oleh Umno yang mahu menjadi hero baru, maka suasana adalah sangat kritikal. Kes di mahkamah tentang penggunaan kalimah AlLah oleh akhbar The Herald tetap akan jadikan perlawanan kalah-menang atau ‘zero-sum’ oleh kedua-dua pihak.

 Pokoknya, tidak ada penyelesaian secara tuntas dan muktamad dengan pendekatan dialog untuk mewujudkan persefahaman. '10 Point' Kabinat Najib menjadi bahan lawakan yang tidak lagi bererti.

Begitu juga pertentangan tuntutan pelbagai pihak dalam usaha kerajaan mencerakinkan sebuah blueprint Pendidikan Nasional.

Pelbagai persoalan besar gagal digarap dan isu asas bersabit bahasa ppngantar dan konsep sekolah nasional masih dalam pertikaian. Tidak ada yang dapat disepakati dan masing-masing pihak  tidak mahu berganjak dari posisi keyakinan masing-masing.

Najib sekali lagi tidak mempunyai komitmen dan iltizam politik  untuk merungkaikan semua masalah ini.

Bukankah Najib telah setuju untuk mewujudkan satu “Konsensus Nasional” bagi menawarkan penyelesaian kepada isu-isu kritikal tadi? 

Saya kira Najib terpaksa bersetuju sebab dia tidak ada pilhan lagi. Kabinet Najib telah pun menyetujui saranan Pakatan Rakyat untuk Permuafakatan Nasional ini.

Dalam kenyataan itu, ekoran mesyuarat mingguan kabinet, Najib berkata, beliau dan para menterinya "meneliti rancangan untuk menubuh dan mempromosikan suasana yang kondusif dan membantu mempromosikan rekonsiliasi nasional menerusi perpaduan dan konsensus dalam negara."

Najib menggariskan empat kunci utama yakni sosial, politik, kerajaan dan hubungan antarabangsa. Bagaimanapun, dalam kenyataan yang dibuat lewat petang Rabu lalu, Najib berkata, rekonsiliasi nasional tidak ada kena mengena dengan kerajaan perpaduan.

Namun, malangnya Najib sekadar menegaskan bahawa rancangan adalah untuk mampu dilihat menjadi lebih inklusif dalam aktiviti dan majlis.

Apa pandangan dan harapan Dr tentang cadangan Konsensus Nasional Najib ini? 

Saya hendak ingatkan Najib supaya sudah cukup masa habis dengan flip-flop dan ketidaksungguhan beliau dalam mengurus negara ini. Cukup dengan slogan, sekadar  nak ‘showcase’ atau peragaan semata-mata.

Untuk apa kalau sekadar mahu dilihat ‘inklusif dalam aktiviti dan majlis’ atau untuk ‘show’ atau tayangan semata-mata?

Najib masih tidak tahu denyut nadi rakyat berdepan dengan masalah besar yang saya tegaskan tadi. Buat apa bercakap dalam bahasa umum dan terawang-awangan, merujuk empat perkara yakni sosial, politik, kerajaan dan antarabangsa.

Kita mahukan tiga perkara asas, iaitu ibu dari pelbagai masalah rakyat, untuk diberikan tumpuan dan fokas. Kenaikan harga barang, kalimah Allah, pertentangan agama dan isu pendidikan.

Najib juga tekankan soal antarabangsa ... perlukah? 

Ya, tak payahlah buat ketika ini bercakap soal-soal antarabangsa dan sebagainya. Tak kiralah Najib tak mahu kerajaan perpaduan sebab kita pun tak mahu.

Yang penting bagi kami, PAS dan Pakatan Rakyat adalah memberikan penyelesaian yang mampan di segi jangka panjang dan meringankan derita rakyat dalam masa dekat.

Hal isu kalimah Allah dan isu pendidikan mesti didepani secara langsung dan matang serta berani. Jangan lagi berdolak dalik dan gunalah segala ruang Perlembagaan dan perundangan mencari penyelesaian termasuk hal pendidikan.

Apa yang sepatutnya dibuat? 

Gerakkan ahli-ahli Parlimen untuk mewujudkan ‘Caucus Group’ di Parlimen dan wujudkan kumpulan pakar serta gemblengkan semua tenaga tempatan di kalangan ahli akademik, pemikir dan profesional serta mantan birokrat yang berpengalaman di luar Parlimen.

Letakkan time-frame dan jangka masa yang jelas untuk mencapai ‘targets' atau ‘deliverables’ (KPIs) yang perlu dinilai secara telus. Usaha dan program ini akhirnya mestilah memperkuatkan amalan demokrasi dan sistem serta institusi negara hingga ia semakin bebas dan berwibawa.

Tiada ulasan: