Jumaat, 14 Februari 2014

Khalid: Kenapa JKR hantar lima kali surat tunda lawatan projek Hospital Shah Alam?

Oleh : NAZLI IBRAHIM


SHAH ALAM : Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad kecewa dengan tindakan Jabatan Kerja Raya (JKR) yang cuba berdolak-dalik bagi memberikan tarikh sebenar lawatan beliau ke tapak projek pembinaan Hospital Shah Alam dengan menundanya beberapa kali.

Khalid memberitahu, beliau sudah pun menulis surat kepada JKR pada 7 Jun 2013 bagi mendapatkan kebenaran mengadakan lawatan ke tapak projek terbabit.

khalid samadKatanya pada 11 Jun beliau menerima surat jawapan dari JKR yang mencadangkan lawatan diadakan pada 20 Jun.

Kemudiannya pada 18 Jun beliau mendapat satu lagi surat, lawatan ditunda pada 24 Jun dan pada 20 Jun terima satu lagi surat menundakan lawatannya ke satu tarikh yang akan dimaklumkan nanti.

Khalid berkata selepas itu, beliau menerima lagi surat dari JKR bertarikh 22 Oktober memberitahu lawatan akan diadakan pada pada 24 Oktober tetapi sehari sebelumnya iaitu 23 Oktober terima surat, lawatan ke tapak Hospital Shah Alam ditundakan atas sebab yang tidak dapat dielakkan.

“Ini bermakna untuk satu surat yang saya hantar saya terima lima surat jawapan balas dari JKR yang semuanya menunda tarikh lawatan saya.

“Adakah ada sesuatu yang cuba disorokkan?,” Kata Khalid dalam sidang media yang diadakan di Pejabat Ahli Parlimen Shah Alam di sini.

Sebelum ini projek Hospital Shah Alam yang sepatutnya siap pada 25 Jun 2012 ditunda ke Oktober 2013, Jun 2014 dan September 2014 dan sekaligus menyebabkan pertambahan kos projek pembinaan bernilai RM482.6 juta itu.

“Secara rasminya sudah lewat dua tahun dari jadual asal dan saya juga dinafikan untuk melawat tapak projek ini. Entah apa yang begitu rahsia saya tidak tahu.

“Saya akan menulis surat semula untuk membolehkan saya melawat tapak projek hospital ini,” kata Khalid yang mempunyai latar belakang seorang jurutera itu.EZY

Tiada ulasan: