THE MALAYSIAN INSIDER
Dosa membawa insan ke neraka. Perbuatan baik pula membawa insan ke
syurga. Itulah hasil yang sepatutnya. Dosa adalah perbuatan salah yang
dimurkai Allah. Kebaikan adalah perbuatan baik yang disukai Allah.
Pun begitu dalam kehidupan insan tidak mustahil untuk dosa menyebabkan
seseorang itu mendampingi Allah sehingga membawanya ke syurga. Juga
tidak mustahil kebaikan membuatkan seseorang melupai Allah sehingga
membawa pengamalnya ke neraka.
UJUB
Ujub atau kagum dengan diri sendiri adalah penyakit rohani yang kronik.
Dalam kalangan manusia, ada yang merasa sombong dengan amalan agamanya
sehingga melihat orang lain hina di sisi Allah dibandingkan dirinya.
Dengan kesombongan itu dia meminta orang mencium tangannya atau meminum
bekasnya ataupun mengambil syafaat darinya.
Jika itu perkara berlaku tanpa permintaannya, tidak mengapa. Tidak
dinafikan pun keberkatan Allah yang diturunkan untuk orang-orang soleh.
Namun apabila ada manusia merasakan merekalah merupakan orang soleh yang
diturunkan keberkatan itu, bagai sudah pasti ahli syurga sementara
orang lain adalah pendosa yang memerlukan syafaat mereka untuk ke
syurga, maka itu adalah tanda ujub, sombong dan riak. Ia mengheret ramai
yang bersolek dengan solekan agama ke neraka.
Sabda Nabi, “Tiga pembinasa; iaitu: kebakhilan yang ditaati, hawa nafsu
yang dituruti dan kekaguman seseorang dengan dirinya sendiri” (Riwayat
al-Bazzar, al-Tabarani, al-‘Uqaili dll. Hadis berstatus hasan)
DOSA KE SYURGA?
Jangan hairan bahawa jika nanti di akhirat ada dalam kalangan mereka
yang kelihatan pernah melakukan dosa di dunia ini menuju ke syurga.
Bagaimana?
Ya, terdapat insan yang apabila dia melakukan dosa, dia tersangat
menyesal. Dia bertaubat dan sentiasa berasa hina diri di hadapan Allah
Yang Maha Agung. Terasa kesalahan itu mengikuti setiap langkahnya. Malu
kepada Allah meliputi perasaannya. Segala ibadah yang dia lakukan
dirasakan kerdil dan kecil. Dia bertungkus lumus membaiki diri lebih
dari keadaannya sebelum terjatuh ke dalam dosa tersebut.
Timbul rasa tawaduk dalam jiwanya. Apabila dia melihat orang lain dia
merasa betapa mereka lebih mulia daripadanya di sisi Allah kerana dia
seorang yang berdosa. Segala kesombongan dalaman jiwanya dikikis apabila
dia mengenangkan dosa-dosanya itu.
Mungkin orang lain tidak tahu tentang dosanya, namun dia sendiri tahu
dan Allah Maha Mengetahui. Betapa dia bersyukur kerana Allah menutupkan
keaibannya, ataupun memberikan ruang untuk dia terus hidup sekalipun
dengan dosa-dosa yang pernah dilakukan. Maka kalau demikianlah keadaan,
dosa-dosanya itu membawanya ke syurga dengan izin Allah.
Kata al-Hafizd al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah (meninggal 751H) dalam
karyanya Miftah Dar al-Sa’adah: “Antaranya, bahawa sesungguhnya Allah
apabila mengkehendaki kebaikan untuk seseorang hambaNya, Dia jadikan
hamba itu lupa gambaran ketaatan-ketaatan yang telah dia lakukan.
Diangkat itu semua dari jantung hati dan lidahnya (tidak
membangkit-bangkitkannya).
Apabila dia diuji dengan dosa, Allah jadikan
dosa itu memenuhi ruang matanya, dia lupa segala amalan baiknya dan dia
jadikan segala ingatan dukanya terhadap dosanya. Sentiasa dosanya itu
berada di hadapannya, semasa dia berdiri, duduk ataupun berjalan.
Maka inilah sumber rahmat pada dirinya. Ini seperti kata sebahagian
Salaf Soleh: “Sesungguhnya ada hamba Allah melakukan dosa, lantas dengan
dosa itu dia masuk syurga. Ada pula yang beramal dengan kebaikan lantas
dengannya dia masuk neraka”.
Bagaimana demikian? Sebabnya, dia melakukan dosa lalu sentiasa dosa itu
memenuhi matanya, setiap kali dia ingat dia akan menangis, menyesal,
beristighfar, merendah diri kepada Allah, kembali kepadaNya, merasa hina
dan pasrah. Lantas dia beramal dengan amalan-amalan soleh maka itu
menjadi sebab kerahmatan untuk dirinya” (1/445-446. Beirut: Muassasah
Fuaad).
PAHALA KE NERAKA?
Kebaikan sepatutnya membawa ke syurga. Namun jika pengamal kebaikan itu
menjadi riak, sombong, takjub dengan dirinya sendiri sehingga merasa
dia tiada cacat di hadapan Allah. Hilang dari jiwanya perasaan tawaduk,
kerendahan diri sebagai hamba dan seakan pasti dirinya ke syurga.
Ditambah lagi, dia memandang lekeh kepada orang lain.
Orang lain bagaikan pendosa, dialah bagaikan sumber pahala. Ini
merupakan musibah terhadap kerohaniannya. Ini telah menimpa ramai
golongan yang berpakaian agama sehingga mereka bagaikan penentu siapa ke
syurga dan siapa ke neraka. Berjalan dengan sombong sambil menghulur
tangan untuk dicium oleh orang lain dengan bangganya.
Inilah yang dinukil oleh al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah tadi: “Ada
pula yang beramal dengan kebaikan lantas dengannya dia masuk neraka”.
Ibn Qayyim menjelaskan maksud hal ini dengan menyebut: “Dia beramal
dengan kebaikan lalu sentiasa fikirannya mengungkit, mengingat dan
menghitung-hitung kebaikan itu terhadap tuhannya dan manusia. Dia
takabur dengannya, dia berasa pelik jika orang tidak mengagung, memulia
dan membesarkan kebaikannya. Sentiasalah keadaannya begitu sehingga
bertambah kuasa pengaruh perasaan itu lalu ia memasukkannya ke dalam
neraka.
Tanda kebahagiaan itu apabila kebaikan-kebaikan seseorang hamba Allah
itu berada di belakangnya (dia tidak mengingatinya) sementara
kejahatan-kejahatannya pula berada dalam ruangan matanya
(mengingatinya). Tanda kecelakaan pula apabila hamba itu menjadikan
kebaikan-kebaikannya memenuhi ruang matanya sementara
kejahatan-kejahatannya berada di belakangnya (dia melupainya)” (ibid,
1/446).
PAKAIAN AGAMA
Maka janganlah kita sangka semua yang berpakaian agama itu akan ke
syurga. Tidak mustahil lengangan jubah, rida, serban dan segala
lambing-lambang agama yang dipakai dengan kesombongan sehingga merasa
dirinya lebih baik dan sempurna dibanding orang lain, itu semua hanya
mengheret pengamalnya ke dalam neraka.
Ibn Ataillah dalam hikamnya menyebut: “Boleh jadi Allah membuka untukmu
pintu ketaatan tapi tidak dibuka pintu penerimaan amalan. Boleh jadi
ditakdirkan untukmu maksiat maka itu menjadi sebab jalan sampai kepada
Allah. Maksiat yang menyebabkan seseorang rendah diri dan pasrah lebih
baik daripada ketaatan yang membawa kepada ujub dan takabur”
Apatah lagi mereka yang ujub dan sombong dengan keturunan seperti yang
mendakwa dirinya dari keturunan Nabi ataupun wali ataupun ulama sehingga
dia memandang lekeh kepada orang lain. Ini sama dengan slogan Iblis
ketika membantah Allah: “Aku lebih baik daripadanya (Adam), aku
diciptakan dari api sedangkan dia diciptakan dari tanah” (Surah al-A’raf
ayat 12).
* Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin ialah bekas Mufti Besar Perlis.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan