Selasa, 11 Februari 2014

Geramm: Permit fzdotcom itu ditarik balik, Kerajaan Pusat cabul kebebasan media

SELANGOR KINI


Selepas The Heat digantung, sebuah akhbar harian yang belum diterbit FZ Daily, milik syarikat media The Edge Communications Sdn. Bhd., pula menjadi mangsa dalam pencabulan hak kebebasan media.

Malah, permit akhbar portal berita fzdotcom itu ditarik balik sebelum harian itu sempat pun memasuki pasaran.

Menurut pemiliknya, ia ditarik balik beberapa jam selepas mahkamah memberikan kebenaran memulakan prosiding terhadap Kementerian Dalam Negeri (KDN) kerana menangguhkan permitnya yang dikeluarkan beberapa bulan lalu.

Kenyataan pemiliknya, ahli perniagaan Datuk Tong Kooi Ong boleh dibaca di sini:
http://www.tongkooiong.com/2014/02/approved-deferred-and-now-revoked.html?spref=fb
geramm-red-pencil9-1024x576 (4)(1)Gerakan Media Marah (GERAMM) melihat tindakan KDN itu amat keterlaluan.

Tambahan lagi, apabila dikatakan tiada sebarang sebab dinyatakan berhubung keputusan itu.

KDN juga nampaknya tidak prihatin isu-isu kebebasan media di negara ini dan seolah-olah tidak belajar daripada kemarahan rakyat terhadap cengkaman kepada kebebasan media.

GERAMM ingin mengingatkan kerajaan terhadap keputusan kes Malaysiakini lwn KDN yang dianggap sebagai duluan (precedence) kepada kes berkaitan permit penerbitan di Malaysia.

Mahkamah Rayuan pada 30 Oktober 2013 sebulat suara menolak rayuan KDN terhadap Malaysiakini dalam kes permohonan permit penerbitan yang ditolaknya, sekali gus bersetuju dengan keputusan Mahkamah Tinggi sebelum itu.

Keputusan yang dianggap sebagai penanda aras itu dalam industri media di Malaysia itu juga jelas menyatakan bahawa permit penerbitan sebagai hak yang dijamin Perlembagaan Persekutuan dan bukannya keistimewaan yang boleh dirunding-runding oleh pihak kerajaan.

Selain itu, dalam kes FZ Daily, GERAMM berpendapat kewibawaan The Edge Communications sebagai penerbit tidak harus dipertikaikan memandangkan ia sudah lama bertapak dalam industri ini dan berjaya mendapat kepercayaan rakyat.

Kami ingin tegaskan lagi, pembatalan permit akhbar FZ Daily bukan perkara baru, sebaliknya rentetan siri-siri pencabulan dalam isu permit penerbitan, termasuk yang menimpa Malaysiakini, The Heat (2013), Suara Keadilan (2010) dan Harakah (2009).

Sebagai menyatakan sikapnya, GERAMM menyeru seluruh rakyat Malaysia, khususnya pengamal media tanpa mengira organisasi, yang cintakan kebebasan supaya menyarung kembali BAJU MERAH sebagai tanda bantahan kepada kerajaan dan sokongan kepada FZ Daily seperti kempen kami dulu ketika The Heat digantung penerbitannya.

Kami cadangkan kempen ini diadakan setiap Rabu, bersempena dengan tarikh pembatalan permit FZ Daily yang dibuat pada Rabu, 5 Februari lepas.

Kami juga mencadangkan kempen di Facebook dan Twitter dimulakan kembali menggunakan hashtag #FZDaily. Maklumat lanjut kempen GERAMM di Internet akan diumumkan kemudian.

SIASATAN PADA WARTAWAN FZ.COM

Seorang wartawan fzdotcom Azril Annuar disiasat polis hari ini (Selasa) untuk siasatan terhadap artikel yang ditulisnya berkaitan pilihan raya kecil Kajang.

Tulisan berjudul “Analyst: Will Rafizi quit if Selangor is not toppled?”, antaranya memetik pandangan penganalisis politik Khoo Kay Peng berhubung percaturan politik dalam isu itu.

Beliau disiasat berhubung kenyataan pemimpin PKR itu yang mendakwa Umno Selangor boleh mencetuskan ketegangan kaum dan agama dalam isu kalimah Allah susulan bantahan parti Umno dekat sebuah gereja di Klang

Berita siasatan polis boleh dirujuk di sini: http://www.fz.com/content/police-summons-fz-reporter-over-rafizi-article

Artikel yang disiasat polis di sini: http://www.theedgemalaysia.com/in-the-edge-financial-daily-today/273808-will-rafizi-quit-if-selangor-is-not-toppled.html

GERAMM menggesa polis agar menyegerakan siasatan agar tidak mengganggu tugas beliau sebagai wartawan dan bertindak adil dan profesional dalam siasatan terbabit.

Tiada ulasan: