Ahad, 2 Februari 2014

Demi demokrasi, wang memang terpaksa dibelanjakan


N.Surendran N.Surendran


SHAH ALAM - Naib Presiden PKR, N Surendran menyifatkan demi menghidupkan sebuah demokrasi, wang ringgit memang terpaksa dibelanjakan.

Beliau berkata demikian merujuk kepada kritikan sesetengah pihak yang menganggap PRK Dun Kajang, sebagai suatu pembaziran.

“... tiada apa-apa kesalahan dalam memaksa berlakunya pilihan raya kecil sebagai satu strategi politik. Mereka yang berkata pilihan raya kecil itu membazir wang ringgit mungkin tidak faham bahawa tidak dapat tidak wang ringgit memang terpaksa dibelanjakan demi menghidupkan sesebuah demokrasi.

“Fokus mereka sepatutnya kepada pilihan raya yang bersih, bukannya demokrasi yang murah,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Padang Serai itu menambah, ‘Serampang Kajang’ merupakan strategi politik untuk mengalahkan BN.

“Serampang Kajang merupakan strategi politik untuk mengalahkan BN yang korup dan zalim. Ini tidak bercanggah dengan hasrat dan kemahuan rakyat, malah ia adalah demi kepentingan rakyat.

“Saya rujuk kritikan berhubung peletakan jawatan bekas Adun Kajang dan keputusan PKR meletakkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai tidak faham politik demokrasi,” katanya.

Menurutnya, pilihan raya merupakan asas strategi mana-mana parti politik dalam sebuah demokrasi moden.

“Banyak kritikan yang diterima lebih bersifat reaksi menyentap, belum difikirkan dengan mendalam dan kurang memahami politik kepartian dan pilihan raya.

“Ia hak sesebuah parti politik untuk meminta rakyat membuat pilihan sebagai satu langkah strategi politik, sama ada melalui pilihan raya kecil atau pilihan raya umum,” ujarnya.

Jelasnya, demokrasi moden tidak boleh berfungsi dengan baik tanpa pertandingan sihat antara parti-parti politik yang menginginkan kelebihan politik.

“Pengkritik 'Serampang Kajang' mungkin gagal mengamati bahawa sebuah demokrasi moden tidak boleh berfungsi dengan baik tanpa pertandingan sihat antara parti-parti politik yang menginginkan kelebihan politik.

“Kelebihan ini boleh diperoleh melalui cara-cara yang sah dan dibenarkan, termasuklah pilihan raya kecil. Mereka turut terlupa kata-kata dan semangat yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan yang menimbang malah membenarkan situasi-situasi sebegini,” katanya.

Tiada ulasan: