Rabu, 12 Februari 2014

Bantah SPPBS, guru himpun di Putrajaya 22 Februari ini

KEADILAN DAILY

SPPBS
PUTRAJAYA : Suara Guru Masyarakat Malaysia (SGMM) akan mengadakan himpunan di hadapan Kementerian Pendidikan di Putrajaya pada hari Sabtu, 22 Februari ini membantah pelaksanaan Sistem Pentaksiran Pelajar Berasaskan Sekolah (SPPBS).

Ketua kumpulan kerja SGMM, Mohd Nor Izzat Mohd Johari berkata bantahan yang dinamakan #Himpunan222MansuhPBS turut mengalu-alukan sokongan warga pendidik dan ibu bapa dari seluruh negara.

“Kami mengadakannya pada Sabtu bagi memberi lebih ramai guru peluang menyertainya dan tidak lupa menjalankan tanggungjawab ini,” katanya yang merupakan seorang guru di sebuah sekolah menengah di Pahang.

Difahamkan himpunan tersebut turut mendapat sokongan Solidarti Mahasiswa Malaysia (SMM), Gabungan Mahasiswa Islam Malaysia (Gamis) dan Badan Mobilisasi Rakyat Dewan Pemuda Pas Pusat.

Dalam pada itu, Izzat membantah kenyataan Timbalan Menteri Pendidikan 1, Mary Yap bahawa SGMM mahukan SPPBS ditukar kepada sistem matrikulasi.

“Tindakan Mary Yap ini sangat memalukan kerana tidak mengikuti perkembangan kehendak SGMM yang mahu PBS dimansuhkan serta-merta.

“Jika beliau tidak tahu isu, lebih baik dapatkan nasihat pegawai Kementerian Pendidikan Malaysia) sebelum mengeluarkan kenyataan yang memalukan diri,” kata Izzat dalam kenyataan.

Izzat berkata, Mary Yap dilihat cuba mengalih perhatian supaya tumpuan SGMM dalam kempen mansuhkan PBS disalah erti.

“Sebagai Timbalan Menteri, beliau jangan menipu rakyat dengan memanipulasi cerita yang tidak pernah disebut oleh SGMM.

“Saya malu ada Timbalan Menteri yang suka putar belit dan cuba mengada-adakan cerita.

“Sekali lagi, jika beliau mahu tahu perkara sebenar, sila tunggu Himpunan 222 pada 22 Februari ini,” tegasnya.

1 ulasan:

Nizam berkata...

Ramai orang luar terutama pembuat dasar tak tahu bahawa ramai guru mata pelajaran dan guru kelas terpaksa bersengkang mata sehingga larut malam sebab semata-mata nak tunggu ada talian untuk masukkan markah PBS.
Munasabah ke jika waktu masukkan markah PBS pada jam 1.00 pagi dan seterusnya?
Berapa ramai pegawai pendidikan di PPD, JPN dan KPM sanggup tunggu waktu itu untuk sama masukkan markah PBS jika mereka menjadi guru di sekolah?
Apabila gagal akses dan gagal masukkan markah, guru jadi lewat tidur, mengantuk dan apabila tiba waktu siang kena hadir ke sekolah.
Di sekolah kena tegur dan marah dengan guru kanan mata pelajaran, penyelaras PBS dan pentadbir sekolah.
Dahlah tak cukup tidur, kena marah lagi. Itu sebab ada guru yang jadi serba-salah dan jadi tak betul fikirannya.
Itu belum lagi cerita tentang kasih sayang anak-anak, menguruskan suami isteri, ibu bapa tua yang uzur dan terlibat dengan masyarakat taman perumahan atau kampung.
Semua guru nak kena buat.
Akhir, guru turut dipersalahkan dengan pelbagai sebab.
Tiada orang faham dan sanggup simpati dan empati ke?

Ya Allah, permudahkan urusan guru-guru,
Berilah rahmat, inayah dan hidayah-Mu agar guru-guru tabah lagi cekal mengharungi cabaran hidup dunia akhirat ini.

Shahrun Nizam,
Muar, Johor.