Adzaman Mohd Jan Adzaman Mohd Jan


ALOR SETAR - Sambutan ramai daripada kaki judi yang menjadi pelanggan di premis perjudian haram sekitar bandar ini menjadi punca lubuk ini terus wujud.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Adzaman Mohd Jan berkata, pihaknya sentiasa memberi keutamaan untuk menghapuskan pusat judi haram yang wujud di kawasan itu.

Menurutnya, jika mendapat maklumat mengenai aktiviti tersebut, pihaknya tidak teragak-agak untuk menyerbu dan menyita premis serta mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang terbabit.

“Kewujudan premis judi haram ini adalah disebabkan adanya permintaan. Pengusaha judi akan meneruskan operasi mereka walaupun secara bersembunyi dan mengaburi mata pihak berkuasa.

“Kunjungan mereka (kaki judi) seolah-olah satu sokongan kepada kegiatan itu,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Adzaman berkata, pihaknya juga mendapat maklumat mengenai kegiatan perjudian yang dibuka dengan berselindung di sebalik hotel bajet.

“Pihak polis sentiasa memantau kegiatan judi dan mengambil tindakan tegas dari semasa ke semasa.

“Kita juga mengalu-alukan maklumat daripada orang ramai yang mengetahui kewujudan pusat-pusat judi di daerah ini,” katanya.