Ramai yang tidak faham permukaan geografi Bukit Tabur menyebabkan mereka tersalah langkah. - Mohd Albar Mohd Noor
SHAH ALAM - Perasaan "over confident" atau terlebih yakin untuk mendaki secara bersendirian walhal baru sekali mendaki Bukit Tabur, Taman Melawati secara berkumpulan mungkin antara punca kemalangan mudah menimpa pendaki.
Menurut seorang juru pandu bukit berpengalaman, Mohd Albar Mohd Noor, 29, sikap "over confident" kononnya tahu tentang selok-belok di Bukit Tabur boleh mengundang bahaya kerana terdapat struktur permukaan bukit yang licin, menjunam serta batu mudah terlerai sekiranya dipijak.
"Bukit Tabur ini sesetengah permukaannya nampak kukuh, tetapi kalau silap pijak kontur tanahnya mudah terlerai, selain licin dan menjunam, kawasannya juga hanya ditaburi dengan pokok-pokok renek sahaja.
“…jadi saya fikir perasaan "over confident" inilah yang bayak menjerat pendaki bukit tersebut,” katanya yang bertugas sebagai Jurulatih Akademi Menyelamat Akuatik Putrajaya.
Bulan ini sahaja, dua kemalangan berlaku di Bukit Tabur, salah satunya membawa maut kepada pendaki wanita berusia 25 tahun.
Soleha Abd Rahman meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL) kira-kira 4 petang, 14 Januari lalu dan dilaporkan mengalami pendarahan dalaman akibat terjatuh ke dalam gaung sedalam kira-kira 60 meter itu.
Pada 5 Januari lepas, Noor Hasmahani Hashim, 28, dari Kampung Baru dipercayai mendaki secara bersendirian sebelum dia tergelincir ke dalam gaung sedalam kira-kira 10 meter. Hasmahani mengalami kecederaan bahagian tulang belakang, tangan dan muka serta patah gigi.
Sebelum itu, insiden maut turut dilaporkan berlaku di Bukit Tabur membabitkan dua orang doktor yang ditemui mati di dalam gaung berhampiran Klang Gates di Ulu Ampang selepas mengikuti ekspedisi mendaki bukit berkenaan.
Kedua-dua mangsa Dr Haliza Mohd Shafie, 53, seorang pakar kanak-kanak dan Dr Amin Tai Abdullah @ Tai Yen Ming, seorang pakar bedah kanak-kanak dilaporkan tergelincir dan jatuh sejauh 500 meter.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan