Khamis, 2 Januari 2014

Polis keluar garis panduan turun kadar jenayah


PDRM


KUALA LUMPUR - Ketua Polis Selangor Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata pihaknya telah mengeluarkan beberapa garis panduan bagi menurunkan lagi kadar jenayah di negeri itu.

"Garis panduan 2014 itu meliputi bagaimana untuk menurunkan kadar jenayah...membasmi kegiatan pelacuran dan maksiat, membasmi perjudian, menangani masalah kemasukan dadah di pintu-pintu masuk utama serta mengurangkan kes pinjaman wang haram atau dikenali along.

"Kita menyeru supaya masyarakat dapat bekerjasama dengan pihak polis bagi membekalkan maklumat kepada kami untuk membasmi jenayah, katanya kepada pemberita selepas majlis serah tugas Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Selangor di IPD Ampang Jaya, hari ini.

Pada majlis itu, Asisten Komisioner Khairuldin Saat menggantikan Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin sebagai Ketua Polis Daerah Ampang Jaya manakala Amiruddin akan mengisi jawatan Khairuldin sebelum ini sebagai Penolong Pengarah Pengurusan Aplikasi Sistem Maklumat Pengurusan Sumber Manusia (HRMIS), Bukit Aman.

Mohd Shukri berkata beliau yakin Khairuldin dapat meneruskan kecemerlangan yang telah dicapai oleh bekas ketua polis sebelum ini.

"Kadar jenayah di daerah ini kebanyakannya terdiri dari kes 'high profile' dan bukan mudah seorang ketua polis untuk menangani kes seumpama itu," katanya. - Bernama

Tiada ulasan: