Oleh Zulkifli Yahaya
Makin
hari makin bertambah jumlah para pemimpin politik dari pihak kerajaan
yang bercakap memperbodohkan rakyat. Dah jadi satu koleksi lawak jenaka
yang berenteran. Ada menteri
yang bercakap, jika ayam mahal belilah daging atau ayam. Ada menteri
yang cadangkan jika tak setuju kenaikan harga tol, sila guna jalan biasa
tanpa tol. Waktu harga petrol naik mereka beritahu, sebenarnya harga
petrol tidak naik cuma subsidi dikurangkan.
Waktu harga gula dinaikkan mereka cakap, tujuannya supaya rakyat sihat tak kena penyakit kencing manis. Dalam pilihanraya kecil Sungai Limau kerajaan BN anjurkan pula jualan gula RM1.00 sekilogram. Memang hebat kelentong para pemimpin politik yang sedang memerintah Malaysia.
Kalau ditakdirkan mereka masuk program Rajalawak, tergugat juga para pelawak sedia ada.
Terbaru, bekas Naib Presiden UMNO yang pernah digantung keahlian kerana
didakwa terbabit rasuah dalam pemilihan parti itu, Tan Sri Isa Samad
turut menambahkan koleksi kenyataan jenaka berhubung isu tekanan kos
hidup yang sedang melanda rakyat. Katanya, kenaikan harga barang bukan
salah Umno.
"Itu kita tak boleh elak, nak
marah pada Umno sebab apa, kalau marah pada Umno harga tidak boleh
turun... kos hidup (tidak boleh turun).
"Kita minta masyarakat memahami kenapa kos ni naik, kenapa pengurangan
subsidi itu terpaksa kita buat, demi untuk menjaga keadaan ekonomi
negara," katanya.
Begitulah Umno. Waktu mendabik dada bahawa negara berjaya memacu
pertumbuhan ekonomi dan memberi pelbagai bantuan untuk rakyat; maka itu
adalah jasa Umno. Tetapi sewaktu rakyat terdera dengan bebanan kos hidup
akibat kepincangan kerajaan mengurus ekonomi negara, maka itu bukan
salah Umno.
Umno adalah parti yang
mendominasi kerajaan yang memerintah. Tanpa Umno tiadalah kerajaan
Barisan Nasional. Mereka yang mencipta politik mentadbir negara. Mereka
yang membangunkan negara dan mereka juga yang menghancurkannya.
Janganlah yang baik-baik sahaja dari Umno manakala yang buruk bukan dari
Umno.
Kenaikan harga barangan dan perkhidmatan adalah kesan daripada tindakan
kerajaan menaikkan harga minyak, gula, kadar tol, tarif elektrik, cukai
pintu dan sebagainya. Semua itu membabitkan kos asas pengeluaran
barangan. Peniaga terpaksa menaikkan harga barangan apabila kos
pengeluaran bertambah.
Mengapa kerajaan
‘terpaksa’ mengurangkan subsidi ke atas barangan tertentu? Kononnya
kerana mahu menggunakan wang untuk menguruskan negara. Itu cuma alasan
yang direka-reka. Sebenarnya hasil mahsul kekayaan negeri sudah cukup
untuk menguruskan negara tetapi ia menjadi tidak cukup apabila negara
diurus oleh pemboros wang rakyat.
Perbelanjaan negara juga terpaksa menggunakan peruntukan yang besar untuk membayar kos tidak perlu kepada para ‘penyamun’ berlesen yang sudah berakar umbi dalam pemerintahan. Sama ada projek perlu dibuat dengan kos yang berkali ganda lebih tinggi dari kos yang munasabah, atau projek mewah tidak perlu yang sengaja dibuat untuk diagihkan kepada kroni; semuanya menggasak wang rakyat dalam jumlah yang sangat besar.
Perbelanjaan negara juga terpaksa menggunakan peruntukan yang besar untuk membayar kos tidak perlu kepada para ‘penyamun’ berlesen yang sudah berakar umbi dalam pemerintahan. Sama ada projek perlu dibuat dengan kos yang berkali ganda lebih tinggi dari kos yang munasabah, atau projek mewah tidak perlu yang sengaja dibuat untuk diagihkan kepada kroni; semuanya menggasak wang rakyat dalam jumlah yang sangat besar.
Setiap tahun Ketua Audit Negara dedahkan ketirisan yang berlaku namun
para pemimpin Umno yang memerintah kelihatan tidak mahu membetulkan
penyelewengan. Tahun berikutnya ada lagi pendedan baru. Begitulah
berlaku saban tahun kehilangan wang negara akibat diurus oleh sebuah
kerajaan yang tiada integriti.
Antara ketirisan juga ialah apabila BN menggunakan wang rakyat untuk
memenangi pilihanraya umum. Penganalisis politik terkemuka yang
melakukan kajian terhadap perjalanan politik Malaysia, Dr Bridget Welsh
membuat penilaian bahawa BN menggunakan sebanyak RM2 billion untuk
kempen mereka. Itu cuma satu contoh ketirisan wang negara.
Belum kira pembaziran yang dibuat oleh Perdana Menteri, isteri, para
menteri dan lain-lain. Sudah puas pemimpin Pakatan mendedahkan di pentas
ceramah, namun mereka selamba saja menonjolkan wajah tidak bersalah.
Kadangkala makin mendapat tempat pula dalam kerajaan atau Umno. Sharizat
Jalil di mana keluarganya terbabit menjahanamkan RM250 juta wang rakyat
terus diberikan mandat memimpin wanita parti rasuah itu.
Ketirisan keseluruhan wang rakyat ini dianggarkan RM30 billion setahun.
Jumlah sebesar itu boleh diguna untuk mengurus negeri Perlis lebih dari
setengah abad.
Kononnya penarikan subsidi untuk salur duit kepada pembangunan, soalnya
mengapa subsidi orang awam saja yang ditarik? Misalnya dalam isu
penarikan subsidi bekalan elektrik, mengapa pemberian subsidi kepada
penjana tenaga bebas (IPP) sebanyak RM19 bilion setahun tidak ditarik?
Umno memerintah Malaysia sudah terlalu lama. Kesan negatifnya ialah
hilang keyakinan pihak luar terhadap sistem ekonomi Malaysia, akibat
imej rasuah. Ranking indeks rasuah Malaysia tidak pernah baik, sentiasa
corot. Kerajaan yang ada ternyata gagal menguruskan ekonomi negara
dengan baik. Ia menyumbang kepada kejatuhan nilai matawang Ringgit.
Sejak dilanda kegawatan ekonomi pada tahun 1997, nilai mata wang
Malaysia telah terjunam.
Peniaga negara kita terpaksa mengimport
pelbagai barangan dari luar negara dengan mata wang asing, mereka
mengguna Dolar US. Walaupun harga barangan tertentu tidak mengalami
kenaikan harga di pasaran antarabangsa tetapi rakyat kita terpaksa
menanggung kos yang tinggi akibat nilai mata wang Malaysia yang rendah.
Barangan keperluan terpaksa diimport juga dari negara luar, maka
harganya menjadi tinggi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan