Isnin, 13 Januari 2014

PKR S'gor mahu penjelasan gugur Azmin

MALAYSIAKINI




PKR Selangor menuntut penjelasan daripada Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berhubung pengguguran Timbalan Presiden PKR Azmin Ali sebagai ahli lembaga pengarah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS ).

Perkara itu, menurut setiausahanya Amiruddin Shari (bawah) dibuat tanpa memaklumkan kepada mereka walaupun kongres tahunan parti itu pada Oktober lalu memutuskan semua lantikan politik, termasuk penggantian dan pengguguran perlu mendapat sokongan parti.


“Jadi kami mahu tahu adakah ibu pejabat (parti) dan presiden sudah diberitahu (mengenai keputusan itu)?” kata Amiruddin kepada pemberita selepas mesyuarat tiga jam perhubungan negeri di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya malam tadi.

Azmin yang bergegas untuk pulang selepas itu menolak memberi sebarang komen kepada media dan hanya mengucapkan "selamat malam" sebelum melambai dan menaiki kenderaan.

Memetik sumber, Malaysiakini pada 11 Januari melaporkan Azmin digugurkan dari jawatan ahli lembaga pengarah PKNS berikutan keputusan Khalid.

Sumber itu berkata penyingkiran itu dibuat walaupun penasihat undang-undang negeri dan PKNS menasihatkan supaya Azmin yang juga ADUN Bukit Antarabangsa, dikekalkan.

Lantikan Faekah turut dibincang

Sementara itu, menurut Amiruddin lagi, PKR Selangor juga mahukan penjelasan berhubung isu pengambilalihan perkhidmatan air negeri itu oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan kenaikan harga lesen perniagaan pihak berkuasa tempatan.

Khalid pada 8 Januari lalu mencadangkan pelantikan dua pentadbir syarikat konsesi air bagi menguruskan perjalanan syarikat itu sebagai syarat untuk kerjasama penuh dengan kerajaan pusat jika pengambilalihan berlaku menerusi Akta Industri Perkhidmatan Air (WSIA).

Dua nama dicadangkan kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), iaitu Ketua Pegawai Eksekutif MBI yang juga bekas setiausaha politiknya Faekah Husin (kanan) dan Presiden Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) Suhaimi Kamarulzaman.

Amiruddin bagaimanapun enggan mengulas lanjut berhubung lantikan Faekah tetapi menegaskan “sesiapa yang dilantik jadi pegawai perlu berintegriti penuh dan mempunyai prinsip untuk kebaikan rakyat”.

"Yang penting bagi kita ialah isu Rakyat. Sesiapa pun yang Dilantik bagi kita, Faekah ke Suhaimi ke. Pada dasarnya harus ada integriti dan kelayakan," kata beliau.

Tiada ulasan: