Ahad, 12 Januari 2014

Dakwa polis terlibat ubah wang haram RM6 juta- SAMM

Oleh: Sidiqin Omar


KUALA LUMPUR : Pegawai kanan polis termasuk yang berpangkat ‘Datuk’ mesti dihadapkan ke mahkamah sebaik disabit terlibat dengan sindiket pengubahan wang haram, kata Penyelaras Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin.

Menurutnya, tindakan memindahkan anggota dan pegawai terlibat tidak akan memperbaiki keadaan sekiranya mereka tidak didakwa.

n_10badrul“Jika tiada dakwaan, polis hanya melindungi kesalahan pasukan mereka sendiri. Jangan hanya dakwa polis pangkat rendah, tapi tak berani untuk dakwa mereka di peringkat atasan.

“Jika tiada tindakan drastik, jangan salahkan rakyat yang berterusan mempunyai persepsi buruk terhadap institusi polis. Rakyat Malaysia kini sukar untuk meletakkan kepercayaan,” kata CheguBard.

Portal The Malaysian Insider 7 Januari lalu melaporkan kira-kira 60 anggota polis disiasat pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ekoran terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram.

Terdahulu, SPRM pada 26 Disember lalu mengesahkan seorang pegawai kanan polis bergelar ‘Datuk’  antara yang memberi kenyataan berkaitan kes pengubahan wang haram bernilai RM6 juta.

Pada November 2013, dilaporkan tiga pegawai berpangkat timbalan penguasa, penolong penguasa dan sarjan ditangkap secara berasingan oleh SPRM. Semasa tangkapan mereka menemui RM500,00 tunai, jam Rolex dan barang kemas.

Susulan itu, dua pegawai yang ditahan dipindahkan ke Johor dan Negeri Sembilan dengan salah seorang daripada mereka terlibat dengan penggubahan wang haram bernilai RM1.7 juta, manakala yang lain RM4.3 juta.

Dalam pada itu Chegu Bard berkata, anggota polis berpangkat rendah perlu menyatakan pendirian menegur kepimpinan polis yang terlibat dengan rasuah dan sindiket jenayah.

“Kamu (anggota bawahan) sedang dizalimi dan dipergunakan. Mesti tampil untuk kembalikan maruah PDRM dan baiki pandangan umum terhadap pasukan keselamatan,” kata CheguBard.

Tiada ulasan: