Jumaat, 22 Februari 2013

Vell Paari: MIC mesti bertindak ke atas Ridhuan, Ibrahim atau hilang undi India


KUALA LUMPUR — S Vell Paari memberitahu presiden MIC agar mengambil tindakan ke atas Datuk Dr Ridhuan Tee kerana menghina agama Hindu, atau pengarah strategi parti tersebut akan meminta golongan India mengundi menentang Barisan Nasional (BN). 
 
Dalam surat terbuka kepada presiden parti Datuk Seri G Palanivel, Vell Paari (gambar) berkata isu ini mesti dibangkitkan dalam mesyuarat Kabinet untuk mendesak Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishamuddin Hussein untuk bertindak ke atas pendakwah Islam itu, dan juga presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali.

“Jika tiada tindakan ke atas Ridhuan dan Ibrahim, saya akan membuat cadangan untuk menasihati masyarakat India siapa yang patut mereka undi. Saya akan gunakan platform MIC untuk mengeluarkan cadangan saya.

“Satu cara bagi anda (Palanivel) untuk menghentikan saya ialah memecat saya, bola di dalam gelanggang anda,” kata surat Vell Paari, yang dipetik dari portal berita freemalaysiatoday.com

Vell Paari adalah anak kepada bekas presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu, yang bersara selepas pilihan raya 2008 dan menyerahkan jawatan tersebut pada Palanivel.

Pemuda MIC itu membuat laporan polis Rabu lalu mengenai kenyataan Tee dalam akhbar harian Sinar Harian, yang bertajuk ‘Kesabaran Umat Islam Ada Had’ yang diterbitkan pada Isnin.

Ketua penerangan Pemuda MIC S. Subramaniam berkata artikel tersebut bersifat “menghasut” dan “tidak sensitif” kepada penganut Hindu apabila apabila bercakap tentang filem kontroversi, Vishwaroopam, tetapi penulis menimbulkan salah faham kepada penganut Hindu.

Vell Paari berkata Tee, yang merupakan professor dari Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, juga memegang beberapa jawatan di peringkat kerajaan.

“Beliau kini menjawat tiga jawatan termasuk di Jabatan Perdana Menteri dan menyerang MIC, ahli di dalam kerajaan yang menggaji beliau. Ini jelas bercanggah dan bertentangan dengan konsep 1Malaysia Perdana Menteri Najib Tun Razak.

“Sebagai ahli MIC, dimana kita mewakili masyarakat India, saya tidak boleh berdiam diri dengan isu ini, yang makin kerap menjadi bahan bualan. Masyarakat juga perlu tahu apa pandangan kita,” katanya lagi.

Vell Paari juga mengkritik kerana tidak ada tindakan ke atas Ibrahim, yang mahu kitab Injil yang mengandungi perkataan “Allah” dibakar.

“Dengan kontroversi berkenaan isu kalimah Allah, kenapa sehingga satu tahap perlu nak membakar kitab tersebut? Kenapa perlu jadi satu hala sahaja apabila timbul isu sensitiviti?” katanya lagi.

Vell Paari memberitahu Palanivel bahawa parti tidak boleh berdiam diri tentang isu ini, termasuk presiden MIC sebagai Menteri Kabinet yang mempunyai akses secara langsung dengan Perdana Menteri dan boleh meminta tindakan diambil secepat mungkin.

“Kalau kita terus mendiamkan diri kerana kita takut dengan sesetengah kuasa, begitu baik kita tutup kedai, dan jadikan ibu pejabat MIC sebagai restoran daun pisang,” katanya lagi.

Tiada ulasan: