Sabtu, 16 Februari 2013

UPKO serah senarai nama untuk dipertimbang sebagai calon

THE MALAYSIAN INSIDER

PENAMPANG, — Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) telah mengemukakan senarai nama yang terdiri daripada muka baharu dan dikenali ramai untuk dipertimbang sebagai calon pada pilihan raya umum ke-13.

Presidennya Tan Sri Bernard Dompok berkata lebih satu nama dikemukakan bagi setiap kawasan yang diperuntuk kepada parti itu.

“Kesemua mereka (calon berpontensi) tertakluk kepada tapisan. Perdana Menteri ingin meneliti setiap nama dan akan membuat pertimbangan tentang calon terbaik,” katanya apabila ditemui pemberita selepas majlis makan malam yang diadakan sempena berlangsungnya konvensyen parti itu di sini malam tadi.

Ditanya sama ada nama beliau turut termasuk dalam senarai itu untuk mempertahankan kerusi Parlimen Penampang yang disandangnya, Dompok berkata: “Kami akan umumkan nama-nama itu (calon) apabila tiba harinya.” UPKO juga berharap diberi peluang meletakkan calonnya bagi kerusi Parlimen Sepanggar yang tidak lagi disandang Barisan Nasional (BN) apabila Parti Maju Sabah (SAPP) meninggalkan parti gabungan itu enam bulan selepas pilihan raya umum sebelum ini diadakan.

Sementara itu, Setiausaha Agung UPKO Datuk Wilfred Madius Tangau berkata parti itu lebih berminat dengan kerusi Sepanggar berbanding kerusi lain yang diperuntuk kepada SAPP sebelum ini kerana kawasan itu mempunyai jumlah pengundi Kadazandusun yang ramai iaitu kira-kira 30 peratus daripada keseluruhan pemilih. Katanya UPKO akan mengadakan konvensyen kebangsaannya pada 23 Feb di Dewan Orang Ramai Menggatal.

Beliau berkata konvensyen itu bertujuan memperkemas persiapan UPKO untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang dan lebih 3,000 orang, kebanyakannya petugas pusat kawasan mengundi parti itu dan pemimpin parti, dijangka menghadirinya.

Pada pilihan raya umum lepas, UPKO mememenangi kerusi Parlimen Penampang, Tuaran, Putatan dan Ranau serta kerusi Dewan Undangan Negeri Paginatan, Moyog, Nabawan, Bingkor, Kuala Penyu dan Kuamut. — Bernama

Tiada ulasan: