Ahad, 10 Februari 2013

Selangor tunggu laporan MPS berhubung isu kondominium Batu Caves


CHERAS, — Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim berkata, kerajaan Selangor masih lagi menunggu laporan lengkap daripada Majlis Perbandaran Selayang (MPS) sama ada berlakunya pelanggaran peraturan oleh Dolomite Corp Bhd dalam pembangunan projek kondominium mewah 29 tingkat di kawasan ibadat masyarakat Hindu di Batu Caves.

Abdul Khalid menegaskan, pihak kerajaan negeri telah mengarahkan MPS untuk mengemukakan semua laporan dan permohonan, termasuk langkah-langkah yang dibuat Dolomite dalam permohonan mereka membangunkan projek tersebut yang telah menimbulkan bantahan banyak pihak.

“Kerajaan negeri telah minta pihak berkuasa Selayang untuk mengemukakan semua laporan mengenai permohonan dan juga langkah-langkah dibuat Dolomite dalam permohonan mereka.

“Perkara ini juga akan dibentangkan dalam mesyuarat perancang negeri Selangor,” katanya kepada pemberita di sini, dan menambah, “kerajaan Selangor belum terima apa-apa laporan daripada MPS setakat ini.”

Pemaju projek Kondominium Batu Caves Park Avenue semalam dalam kenyataannya berkata syarikat berkenaan masih belum menerima sebarang notis pembatalan projek berkenaan, sekaligus menggesa kerajaan Pakatan Rakyat (PR) Selangor menyemak semula keputusan untuk membatalkan projek tersebut.

Pengarah Urusan Dolomite Lew Choong Keong berkata, syarikat berkenaan kecewa dengan tindakan kerajaan negeri yang membatalkan projek tersebut tanpa sebarang notis ataupun perbincangan dengan pemaju.

“Kami sangat kecewa dengan keputusan menteri besar untuk membatalkan projek tersebut berdasarkan alasan keselamatan dan perlindungan alam sekitar.

“Lebih menyedihkan, dua kali percubaan kami untuk berjumpa menteri besar untuk menunjukkan kajian kami sebelum pengumuman itu dibuat tidak dilayan,” katanya.

Pembangunan projek tersebut menimbulkan kontroversi apabila ia dikatakan akan mengancam kedudukan gua Batu Caves yang menempatkan kuil Hindu kerana struktur gua itu didakwa akan terancam kerana ia merupakan struktur batu kapur.

Projek dengan nilai RM248 juta yang menempatkan 293 unit juga didakwa akan memberi ancaman kepada patung Dewa Murugan tertinggi di dunia yang terletak di kaki gua tersebut.

Lew menjelaskan, telah terdapat sekitar 100 pembeli yang telah menandatangi perjanjian jual beli (SPA) yang mengharapkan kerajaan Selangor menarik balik keputusan tersebut.

Syarikat perunding kejuruteraan bebas G&P Geotechnic Sdn Bhd dalam penjelasannya mengkelaskan projek berkenaan sebagai projek yang “tidak membahayakan”.

Tiada ulasan: