Ahad, 10 Februari 2013

Putrajaya lebih penting daripada jadi calon, kata Zuraida kepada wakil PKR Sabah




KUALA LUMPUR — Berikutan perletakan jawatan 14 ahli Wanita PKR Sabah Khamis lalu, Zuraida Kamaruddin mengingatkan ahli parti untuk setia kepada impian Pakatan Rakyat (PR) untuk menawan Putrajaya daripada berebut untuk menjadi calon dalam pilihan raya akan datang.

Ketua Wanita PKR (gambar) itu mengakui kepada The Malaysian Insider masih lagi terdapat rasa tidak puas hati dalam pemimpin PKR Sabah terhadap kemungkinan mereka tidak akan dicalonkan.

Namun beliau menjelaskan ia dilakukan kerana parti itu telah memperuntukkan kerusi bagi sekutu terbaru PR, Angkatan Perubahan Sabah (APS) dan Pertubuhan Pakatan Perubahan Sabah (PPPS).

“Saya tak boleh kata langsung tiada (rasa tidak puas hati). Namun mereka perlu bersikap rasional. Adakah mereka nak berada di sini untuk jangka masa pendek atau panjang?” katanya dalam panggilan telefon dari Sabah petang semalam.

“Demi kepentingan menentang Barisan Nasional (BN) dan Umno, apa yang kami lakukan adalah meletakkan yang terbaik,” tambahnya.

APS dipimpin oleh Ahli Parlimen Tuaran Datuk Seri Wilfred Mojilip Bumburing, bekas timbalan presiden komponan BN, Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO), dan PPPS diketuai Ahli Parlimen Beaufort dan bekas Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Lajim Ukin.

Kedua-dua mereka meninggalkan BN tahun lalu bagi membentuk pakatan bersama PR, yang kini sedang menyelesaikan pemhagian kerusi antara DAP, PKR dan PAS, dan bakal menjadikan pembangkang di Sabah dalam situasi yang huru-hara.

Winnie Juani, yang merupakan Naib Pengerusi Wanita PKR Sabah, ketua sayap Penampang meninggalkan parti itu Khamis lalu bersama 13 lagi pemimpin bahagian.

Beliau berkata kepada The Malaysian Insider tidak mempunyai sebab khusus, sebaliknya hanya mahu merehatkan diri daripada kehidupan politik yang sibuk.

Juani, 52, turut berkata beliau meninggalkan parti itu kerana kepimpinan tidak mengesahkan sama ada beliau akan bertanding Moyog, kerusi Dun di bawah BN dalam Parlimen Penampang.

Zuraida berkata beliau ada bercakap dengan Juani selepas perletakan jawatan mengejut itu, namun menghormati keputusan berkenaan.

“Beliau kata mahu berehat dan memberi keutamaan kepada keluarga. Ada yang tidak boleh menahan tekanan perlukan masa ... Jadi biar mereka berehat, kita tidak kekurangan pemimpin dan calon wanita,” katanya.

Zuraida bagaimanapun tidak mengesahkan wujudnya spekulasi Juani meninggalkan PKR disebabkan isu pencalonan namun berkata kepentingan PR adalah menwan Putrajaya dan setiap ahli seharusnya mengetepikan kepentingan peribadi mereka.

“Tapi jika mereka mahu berehat kerana tidak puas hati dengan perkara ini, kami hormatinya,” katanya.

Zuraida menambah Juani “keseorangan dalam membuat keputusan”, dan menegaskan PKR dan PR, sama ada di peringkat nasional mahupun Sabah, tidak terkesan dengan perletakan jawatan itu.

Bagi menggantikan Juani, Setiausaha Wanita PKR Sabah, Esther Otion telah dipertanggungjawabkan melihat perkara itu.

“Bahagian kami kukuh dan kami akan memastikan jentera terus bekerja,” katanya.

Moyog adalah satu daripada dua kerusi Dun di bawah Parlimen Penampang dan secara tradisinya merupakan kubu kuat BN.

Penampang dikuasai Presiden UPKO Tan Sri Bernard Giluk Dompok, sementara Ketua Penerangan partinya, Datuk Donald Peter Majuntin adalah Adun Moyog dan Ketua MCA Sabah, Datuk Edward Khoo merupakan Adun Kapayan.

Berikutan perletakan jawatannnya itu, Juani berkata beliau didatangi “wakil pembangkang” dan mempelawanya menyertai mereka, namun menegaskan keputusannya akan bersama dengan mereka yang mengikutinya meninggalkan PKR.

Terdapat dua lagi pembangkang di Sabah, — Parti Maju Sbah (SAPP) diketuai Datuk Yong Teck Lee dan Parti Pembaharuan Negeri (STAR) diketuai oleh Datuk Dr Jeffrey Kitingan.

Perbincangan kerusi antara PR dan kedua-dua parti belum menemui penyelesaian, namun memandangkan pilihan raya semakin hampir, pertikaian itu dijangka akan dapat diselesaikan.

Tiada ulasan: