Khamis, 7 Februari 2013

Putrajaya beri kebenaran Dr Pornthip terlibat dalam autopsi Sugumaran

MALAYSIA CHRONICLE


PUTRAJAYA, — Kementerian Kesihatan telah memberi kebenaran untuk Dr Pornthip Rojanasunand (gambar) melakukan autopsi kedua ke atas mayat C Sugumaran yang didakwa mati dipukul polis.

Peguam keluarga Sugumaran N Surendran dan Latheefa Koya memberitahu wartawan tentang kebenaran kerajaan untuk ahli pathologi Thailand itu terlibat selepas mesyuarat bersama pegawai Kementerian Kesihatan di sini hari ini.

“Mereka telah bersetuju sekarang,” kata Surendran dalam sidang akhbar hari ini.

Peguam PKR itu menambah, beliau kini sedang menunggu surat rasmi dari Kementerian Kesihatan, yang dikatakan akan dikeluarkan hari ini.

Surendran memberitahu, Kementerian Kesihatan juga bersetuju untuk menyediakan kemudahan yang sepatutnya di hospital kerajaan kepada Dr Pornthip.

Dr Pornthip adalah ahli forensik Thailand yang memantau bedah siasat kedua Teoh Beng Hock untuk mencari kesalahan dalam kematian misteri ahli DAP itu di bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor.

Dr Pornthip yang juga merupakan pengarah Institut Sains Forensik Thailand, terkenal di Thailand kerana seringkali bertengkar dengan kerajaan sewaktu kempen anti dadah bekas perdana menteri Thaksin Shinawatra pada tahun 2003.

Surendran memberitahu Isnin lalu Dr Pornthip bersetuju untuk melakukan bedah siasat kedua ke atas mayat Sugumaran.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah mengarahkan laporan forensik mengenai kematian Sugumaran selepas dibangkitkan dalam mesyuarat Kabinet minggu lepas.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai diarahkan untuk memantau laporan forensik selepas Datuk Seri G Palaneval yang juga menteri di jabatan perdana menteri membangkitkan perkara tersebut dalam mesyuarat Kabinet.

Beberapa saksi yang melihat Sugumaran rebah di tepi jalan berhampiran rumahnya di Hulu Langat pada 23 Januari telah menuduh polis yang menangkap Sugumaran memukulnya ketika tangan pegawal keselamatan itu masih bergari.

Polis telah menafikan tuduhan tersebut dengan mengatakan bedah siasat dijalankan oleh Hospital Serdang mengatakan Sugumaran mati kerana serangan jantung.

Surendran memberitahu The Malaysian Insider selepas sidang akhbar hari ini akan membawa Dr Pornthip datang secepat mungkin akan tetapi tidak memberi tarikh secara spesifik.

Kematian Sugumaran dikaitkan dengan banyak lagi kes kematian yang didakwa melibatkan polis seperti kematian Chang Chin Te awal tahun ini, A Kugan dan R Gunasegaran pada 2009, serta kematian pelajar sekolah Aminulrasyid Amzah pada 2010 dan beberapa kematian dalam dua tahun ini

Kumpulan Kerja Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengenai Penahanan Sewenang-wenang 2010 (United Nations Working Group on Arbitrary Detention 2010) melaporkan pada 2011 bahawa antara 2003 hingga 2007, terdapat 1,500 tahanan mati ketika ditahan pihak berkuasa.

Majlis Peguam, badan bukan kerajaan dan beberapa ahli politik dari kedua belah pihak telah menuntut agar Suruhanjaya Aduan dan Salahlaku Polis (IPCMC) ditubuhkan semanjak tahun 2006.

Bekas ketua polis negara (KPN) Tan Sri Musa Hassan juga menggesa penubuhan badan alternatif untuk memantau polis akan tetapi beliau dengan tegas menolak IPCMC yang beliau dakwa tidak adil kepada polis.-themalaysianinsider.com

Tiada ulasan: