Sabtu, 23 Februari 2013

PRU13: Tips ke Putrajaya sebelum parlimen bubar

Mohd Sabri Said,


KEPALA BATAS: Lajnah Penerangan dan Jabatan Pilihanraya PAS Pulau Pinang memberi 'tips' terakhir kepada keseluruhan jentera parti sebelum Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengisytiharkan pembubaran parlimen.

Ketua Penerangan PAS negeri, Bukhori Ghazali berkata, tips terakhir itu akan diguna pakai dalam waktu berkempen ataupun berpantang sebagaimana sekarang.

Katanya, berbagai kaedah mendekati masyarakat diberikan dengan hasrat menimbulkan kesedaran bahawa pentingnya perubahan dalam Pilihanraya Umum ke-13 nanti.

"Tips yang diberikan itu mesti dimanfaatkan sepenuhnya. Jangan abaikan tips berkenaan kerana jika dipraktikkan pasti menemui kejayaaan merampas Dewan Undangan Negeri yang masih dikuasai Umno," tegasnya ketika ditemui pada Seminar Dari Komtar Ke Putrajaya yang diadakan di Markaz Tarbiyah Pongsu Seribu, Kepala Batas.

Harapan PAS sambungnya, ialah memenangi kelima-lima kerusi Dun iaitu Penaga, Sungai Dua, Permatang Berangan, Permatang Pasir, Bayan Lepas termasuk satu lagi di Sungai Acheh yang dalam proses perbincangan dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) serta Parlimen Kepala Batas dan Tasek Gelugor.

Memandangkan momentum rakyat yang mahukan perubahan makin memuncak, Bukhori berkeyakinan PAS Pulau Pinang mampu melonjakkan kerusi berbanding hanya satu di Dun Permatang Pasir.

Tambahan lagi, katanya senario politik Umno dan Barisan Nasional semakin merudum dan tidak tentu arah ekoran terlalu banyak peristiwa pahit yang terjadi berpunca daripada kepimpinan mereka yang korap.


Katanya lagi, tips-tips yang diberikan oleh Jabatan Pilihanraya PAS negeri dan mereka yang berpengalaman dalam pilihanraya amat berguna untuk melumpuhkan kedudukan Umno dan BN di negeri ini.

Di samping itu, ujarnya ia memberikan kekuatan baru kepada Pakatan Rakyat bagi melawan BN yang sudah tentu menggunakan semua jentera kerajaan Pusat.

Hadir sama dalam program yang dirasmikan oleh Pesuruhjaya PAS negeri, Dato' Saleh Man itu ialah Pengarah Piihanraya PAS Negeri, Rosidi Hussain, Ketua Dewan Ulamak PAS Negeri, Ustaz Soid Mohd Amin, Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri, Ustaz Fauzi Mohd Yusuf, Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri, Ustaz Yusni Mat Piah dan semua kepimpinan PAS kawasan seluruh Pulau Pinang.

Tiada ulasan: