Oleh Sidiqin Omar
SHAH ALAM : Jentera Pakatan Rakyat perlu bersiap-siaga untuk
mara ke medan tempur sebagai satu saf yang rapi dan tersusun sebaik
Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU 13) diumumkan, kata Pengarah Jabatan
Pilihan Raya Pusat (JPRP) KEADILAN, Mohamed Azmin Ali.
“Pertempuran kali ini adalah di antara rakyat dan elit penguasa. Antara yang mempertahankan hak dan yang melindungi kebatilan.
“Kita telah berada di pusingan terakhir. Saya optimis dalam pertempuran kali ini kemenangan akan bersama rakyat.
“Kerana itu kita tidak boleh melakukan kesilapan kerana ia
mengkhianati cita-cita perubahan dan sengaja mengkhianati amanah rakyat
Malaysia,” katanya ketika menyampaikan amanat Ketua Jentera Pilihan Raya
pada Konvensyen Pakatan Rakyat keempat di Pusat Konvensyen Shah Alam,
hari ini.
Timbalan Presiden KEADILAN itu berkata, Pakatan Rakyat bukan sekadar
untuk muafakat PRU 13, namun bertunjang hasrat untuk melaksanakan
perubahan.
Justeru, tema manifesto ‘Pakatan Harapan Rakyat’ adalah cita-cita rakyat Malaysia yang bersaudara.
“Dari Perlis sampai ke Sabah, petani, nelayan, guru, usahawan
hinggalah para Jeneral, kini semuanya bersama Pakatan Rakyat,” kata
Azmin.
Tambahnya, kepimpinan Pakatan Rakyat yang bersih, tidak rasuah dan
menolak perkauman sempit memacu kemakmuran negara dan istiqamah dalam
perjuangan adalah aset.
“Kebijakan yang digarap melalui Buku Jingga, Belanjawan Pakatan
Rakyat dan hari ini kita luncurkan manifesto bersama. Dokongan kuat
rakyat Malaysia membuktikan bahawa Pakatan Rakyat akan menerajui PRU 13
dengan agenda kita,” katanya.
“Saya dengan tekad dan berani menyatakan Pakatan Rakyat bersedia
untuk mentadbir. Ayuh kita mara ke Putrajaya dengan iltizam untuk
melakar masa depan baru demi Malaysia yang gagah,” kata Azmin disambut
tepukan hadirin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan