Isnin, 25 Februari 2013

PR sedia gempur BN: Tiba masa rakyat lawan penguasa korup

 Roketkini.com



SHAH ALAM: Pakatan Rakyat (PR) sudah bersiap sedia menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) bagi memacu perubahan membawa rakyat menumbangkan kerajaan korup Barisan Nasional (BN).

Dengan pelbagai kerosakan dan salah guna kuasa dilakukan BN, tanpa perubahan kuasa politik Malaysia dalam pilihan raya kali ini, negara mungkin menghadapi risiko yang memudaratkan rakyat.

Dalam ucapan Ketua Jentera Pilihanraya PR pagi ini di Konvensyen Pakatan Rakyat ke-14, wakil gabungan parti PAS, PKR dan DAP bersepakat untuk menyelaras gerak kerja parti di setiap peringkat menghadapi pelbagai kemungkinan kempen jahat BN.

Menurut Ketua Jentera Pilihanraya PAS, Dr Hatta Ramli, jentera kempen pilihan raya parti itu sudah lama digerakkan dan sedia untuk bertempur habis-habisan.

Mengingatkan masa depan negara ditentukan oleh rakyat Malaysia, beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat mahu proses pilihan raya akan datang ini tidak dicemari pengundi hantu dan menguatkan usaha mengurangkan manipulasi pengundian pos.

“Kami ambil berat kerana kami sudah berkempen selama lima tahun jadi kami tidak mahu kempen selama dua minggu berakhir dengan penipuan.

Ahli Parlimen Kuala Krai itu juga mengingatkan agar semua komponen PR bersiap sedia walaupun PR mempunyai krisis keyakinan dengan badan pilihan raya.

Ketua Pengarah Pilihanraya Kebangsaan DAP, Tan Kok Wai, pula beliau mahu PRU-13 nanti menjadi satu tarikh bersejarah yang diingati rakyat Malaysia.

“Hari itu adalah hari berakhirnya hayat BN dan bermulanya budaya politik baru PR yang mengamalkan dasar kerajaan yang bersih, telus dan beramanah.

“Untuk mencapai matlamat ini, PR bukan sahaja perlu mengalahkan BN tetapi juga perlu menang dengan majoriti jelas. Untuk memenuhi hasrat ini kami perlu mendekati rakyat dengan perspektif baru,” ujar beliau yang juga Ahli Parlimen Cheras.

Justeru, Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP itu mengingatkan kempen PR kali ini bukan sekadar melawan BN tetapi disifatkan sebagai perjuangan rakyat melawan BN.

“Seluruh jentera kempen pilihan raya PR perlu menjadi satu entiti di setiap peringkat,” katanya.

Ketua Jentera Pilihanraya PKR, Azmin Ali pula berkata, pilihan raya kali ini adalah masa paling baik untuk mengangkat kerajaan baru PR di Putrajaya.

“Hari ini kita lihat rakyat Malaysia bertambah yakin dengan PR. Rakyat dilihat meletakkan harapan yang tinggi untuk bersama PR.

“Lihat saja PRU 2008, kita dapat saksikan bagaimana orang Cina dan India secara terang mengibarkan panji-panji PAS. Belum pernah sebelum ini anak muda Melayu di bandar dan di desa berani mengibarkan bendera DAP,” ujar beliau yang juga Timbalan Presiden PKR.

Senada dengan pimpinan lain, Azmin mengakui PRU-13 merupakan pertempuran di antara elit penguasa dan rakyat justeru beliau turut mengingatkan agar PR tidak melakukan kesilapan.

Konvensyen Pakatan Rakyat ke-14 adalah konvensyen bersejarah di mana manifesto pilihan raya bertemakan Pakatan Harapan Rakyat dilancarkan mendahului manifesto BN. -Roketkini.com

Tiada ulasan: