Isnin, 11 Februari 2013

PR Perak yakin tawan 40 kerusi DUN dalam PRU 13


KUALA LUMPUR — Pakatan Rakyat (PR) Perak yakin akan menguasai 40 daripada keseluruhan 59 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Timbalan Pengerusi DAP Perak, V Sivakumar dalam satu kenyataan hari ini berkata, Barisan Nasional (BN) Perak telah melakukan satu kesilapan besar apabila merampas kerajaan pilihan rakyat pada tahun 2009.

"Pada 8 Mac 2008, rakyat Perak telah memberi mandat kepada PAS, PKR dan DAP untuk memerintah negeri Perak. Kehendak rakyat itu wajib dihormati oleh semua pihak," jelas ADUN Tronoh (gambar) itu dalam kenyataannya.

Menurut Sivakumar, daripada analisa yang diperolehi daripada pelbagai sumber, PR Perak dijangka akan memenangi sekurang-kurangnya 40 kerusi daripada 59 kerusi yang akan ditandingi untuk Dewan Negeri Perak.

"Kemenangan yang besar ini adalah perlu untuk menjamin kesejahteraan dan kedudukan kerajaan yang baru dipilih itu. Pakatan Rakyat Negeri Perak akan terus berusaha dengan lebih gigih lagi untuk menambahkan lagi bilangan kerusi dalam PRU13.

"Pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat Perak cukup yakin bahawa rakyat negeri Perak akan memberi mandat yang lebih besar dalam pilihanraya umum akan datang," katanya.

PR Perak telah menang tipis 31 kerusi berbanding BN yang memenangi 28 kerusi pada Pilihan Raya 2008.

Majoriti tipis itu kemudiannya menimbulkan perbalahan apabila tiga ADUN PR melompat parti, dan majoriti kembali berpihak kepada BN, yang turut menyaksikan PR Perak hanya bertahan selama 11 bulan bermula Mac 2008 hingga Februari 2009.

Malah, situasi itu turut menyaksikan Menteri Besar ketika itu, Datuk Seri Nizar Jamaluddin, digantikan dengan Datuk Seri Zambry Abd Kadir.

Tegas Sivakumar, kerana tamakkan kuasa, BN Perak telah merampas kerajaan rakyat itu melalui "pintu belakang" dengan melanggar undang-undang sedia ada yang tidak sah di sisi Undang-undang Tubuh Negeri Perak mahu pun Perlembagaan Persekutuan.

"Perkara ini telah menimbulkan kemarahan seluruh rakyat Perak ketika itu.

"Barisan Nasional mengharapkan bahawa peristiwa rampasan kuasa itu akan dilupai oleh rakyat apabila dimakan oleh masa. Tetapi, andaian Barisan Nasional itu adalah tidak benar," tegasnya lagi.

Peristiwa rampasan kuasa itu jelas Sivakumar telah terpahat dalam sanubari setiap rakyat Perak, walaupun pelbagai usaha telah diambil oleh kerajaan BN Perak untuk mengalih perhatian mereka, segala usaha itu terbukti gagal.

Katanya, rakyat dapat menilai, membuat pertimbangan yang rasional dan membandingkan pemerintahan 11 bulan PR dan pemerintahan empat tahun BN.

Tiada ulasan: