Ahad, 24 Februari 2013

P.Pinang fail kes ke mahkamah desak SPR laksana pilihan raya tempatan


KUALA LUMPUR — Kesal Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan kerajaan pusat yang enggan menjalankan pilihanraya kerajaan tempatan, kerajaan DAP negeri Pulau Pinang akan membawa kes Mahkamah Persekutuan untuk mendesak ia dijalankan dengan serta-merta.

Menurut Lim, kerajaan negeri tidak mempunyai pilihan lain selain menggunakan saluran tersebut meskipun telah memaklumkan kepada SPR tentang hasrat untuk mengadakan pilihan raya tersebut sejak tahun lalu.

“Kerajaan negeri tidak mempunyai pilihan selain membawa kerajaan pusat dan Suruhanjaya Pilihan Raya ke Mahkamah Persekutuan untuk mendesak pemulihan undi ketiga dan pilihanraya kerajaan tempatan untuk Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP),” kata Lim dalam satu kenyataan hari ini

Liim juga mendakwa pilihan raya tersebut yang sepatutnya berkuatkuasa pada 31 Januari 2013 dibawah Enakmen Pilihanraya Kerajaan Tempatan (Pulau Pinang dan Province Wellesley) yang diluluskan pada 2012 tidak dapat berjalan kerana tiada kerjasama daripada SPR.

“Walaubagaimanapun kerajaan negeri telah gagal mendapatkan sebarang komitmen daripada Suruhanjaya Pilihan Raya untuk melaksanakan pilihan raya bagi Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) selaras dengan Enakmen tersebut,” kata Lim.

Selain itu, Lim berkata langkah membawa isu tersebut ke mahkamah adalah bertujuan untuk mengenepikan seksyen 15 Akta Kerajaan Tempatan 1976 yang mengatakan pilihanraya kerajaan tempatan di seluruh Malaysia adalah tidak sah.

“Kerajaan negeri kini telah mengarahkan peguamnya untuk memohon kepada Mahkamah Persekutuan untuk memberi keizinan bagi mendapatkan pengisytiharan bahawa seksyen 15 Akta Kerajaan Tempatan 1976 (sebuah undang-undang persekutuan yang digubal oleh Parlimen), yang memansuhkan pilihanraya kerajaan tempatan di seluruh Malaysia, adalah tidak sah atau tidak berkuat kuasa di Pulau Pinang,” ujar Lim lagi.

Pada bulan Mei 2012, Dewan Undangan Negeri (Dun) Pulau Pinang telah meluluskan Enakmen Pilihanraya Kerajaan Tempatan (Pulau Pinang dan Province Wellesley) 2012, yang memperuntukkan supaya Suruhanjaya Pilihanraya menjalankan pilihanraya kerajaan tempatan di Pulau Pinang.

Pada 11 Ogos 2009, Kerajaan Negeri meluluskan usul dalam Dun menuntut Kerajaan Persekutuan menghidupkan kembali pilihan raya kerajaan tempatan.

Kerajaan Negeri mendapatkan khidmat panel peguam Tommy Thomas, Yeo Yang Poh dan Malik Imtiaz untuk memberi nasihat tentang hak dan kuasa Kerajaan Negeri mengadakan pilihan raya tempatan.
Pada 13 Julai 2009, Kerajaan Negeri menghantar surat kepada Majlis Kebangsaan Pihak Berkuasa Tempatan di bawah Artikel 95A Perlembagaan Persekutuan  untuk membincangkan isu pilihan raya tempatan tetapi cadangan itu ditolak.

Berdasarkan nasihat panel peguam, Lim menulis surat kepada SPR pada 4 Mac 2010 memintanya mengadakan pilihan raya kerajaan tempatan berdasarkan Perkara 113(4) Perlembagaan Persekutuan yang menyebut undang-undang Persekutuan atau negeri boleh memberi kuasa kepada SPR untuk menjalankan pilihan raya selain daripada yang disebut dalam Fasal (1).

Tiada ulasan: