Selasa, 12 Februari 2013

Pengundi Melayu di rumah Cina senjata Umno makan tuan

Oleh Norutul Ilham

KUALA LUMPUR : Penghantaran surat oleh Umno BN mengandungi mesej tahun baru dan butiran mengundi daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sehingga membongkar nama individu yang tiada di alamat tersebut umpama senjata makan tuan.
Zuraida
 Timbalan Pengerusi KEADILAN Selangor, Zuraida Kamaruddin berkata, perkara itu berlaku akibat kerajaan Umno yang terlalu ghairah menagih undi rakyat Selangor, menyebabkan terbongkarnya modus operandi pengundi berbilang kaum di satu rumah.

“Banyak sebenarnya kes nama pengundi Melayu ada di rumah pengundi Cina termasuk rumah orang India.

“Ini dinamakan senjata makan tuan apabila mereka (Umno BN) kononnya mahu dekatkan dengan pengundi, tetapi nama yang dialamatkan itu tidak tinggal di rumah tersebut. Terbukti dakwaan kita bahawa pengundi hantu memang wujud,” katanya ketika dihubungi.

Ketua Wanita KEADILAN itu berkata, akibat ‘terkantoi’ dengan pembongkaran kes tersebut, beliau mendapat maklumat Koordinator BN Selangor, Datuk Seri Mohd Zin Mohamad, menghantar semula surat memohon maaf kepada penghuni rumah yang menerima surat nama tidak dikenali itu.

“Mereka sendiri tahu perkara ini memang benar-benar berlaku, jadi mereka cepat-cepat buat permohonan maaf.

“Bermakna betul dakwaan kita bahawa nama-nama pengundi diletakkan secara beramai-ramai di satu alamat. Mereka akur apa yang berlaku kerana perkara itu terbongkar,” kata Ahli Parlimen Ampang itu.
Menurut laporan terdahulu, surat pengundi hantu yang dihantar Najib di Selangor bulan lalu turut memuatkan maklumat pengundian individu tersebut termasuk daerah mengundi, kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen.

Manakala bagi kes terbaru yang didedahkan Setiausaha DAP Selangor, Lau Weng San, surat tersebut dialamatkan kepada nama Melayu di rumah yang dihuni penduduk Cina di Taman Pesara, Kuala Kubu Bharu.

Tiada ulasan: