Selasa, 19 Februari 2013

Pengerusi DAP, PKR Johor diarah tutup mulut


MALAYSIA KINI


Ekoran perang mulut antara pengerusi DAP Johor, Dr Boo Cheng Hau dengan rakan sejawatannya daripada PKR, Datuk Chua Jui Meng semalam, satu arahan dikeluar meminta mereka 'tutup mulut' dan tidak meneruskan lagi pertikaian mereka secara terbuka.

NONE"Saya telah bercakap dengan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar  Ibrahim dan kami bersetuju supaya Chua dan Boo berhenti daripada terus membuat komen terbuka mengenai hubungan antara kepimpinan DAP dan PKR Johor, terutama mengenai isu agihan kerusi," kata Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng (kiri) dalam satu kenyataan hari ini.

"Kedua-dua pemimpin negeri itu juga hendaklah berunding terlebih dahulu dengan kepimpinan tertinggi parti masing-masing sebelum membuat sebarang kenyataan terbuka mengenai peruntukan kerusi antara kedua-dua parti bagi pilihan raya umum akan datang."

Lim menegaskan bahawa pertelagahan antara kedua-dua pemimpin Pakatan Rakyat Johor itu telah dieksploitasi oleh media arus perdana yang dikawal oleh BN.

"Publisiti negatif sedemikian tidak wajar menjelang pilihan raya umum dan hanya akan menggembirakan BN dan mengecewakan penyokong Pakatan Rakyat, yang berharap untuk mencipta kejayaan memecah kubu BN ini (Johor)."

Lim berkata kepimpinan DAP pusat menghargai sumbangan Boo dan mengakui kekecewaan beliau tetapi menegaskan bahawa ia tidak seharusnya dinyatakan secara terbuka sehingga semua saluran perbincangan dimanfaatkan.

Beliau menggesa semua pemimpin, ahli dan penyokong Pakatan supaya meluahkan pandangan mereka melalui saluran dalaman agar tidak membuka peluang kepada musuh politik mereka.

azlanKepimpinan DAP pusat, katanya, akan menyampaikan sentimen dan
justifikasi DAP Johor dalam rundingan akhir agihan kerusi, yang akan dimuktamadkan oleh pemimpin tertinggi Pakatan.

Lim juga mendedahkan bahawa rundingan agihan di kalangan parti komponen Pakatan masih berterusan.

DAP diwakili pasukan yang diketuai oleh Timbalan Pengerusi dan Pengerusi Jawatankuasa Pilihan raya, Tan Kok Wai.

Semalam Boo mengeluarkan kenyataan keras menggesa Anwar atau Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail supaya mengambil alih kepimpinan PKR Johor.

Beliau mendakwa keangkuhan Chua telah merosakkan kerjasama yang kuat yang dibina antara DAP Johor DAP dan PKR sebelummya dan sehingga 2010.

Tiada ulasan: