Khamis, 7 Februari 2013

Pemuda PAS ucap takziah kepada keluarga Azli Paat

Harakahdaily,


KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mengucapkan takziah kepada keluarga almarhum Azli Paat (gambar), pemenang Anugerah Perdana Menteri Best of the Best APICTA 2012 yang telah menghembuskan nafas terakhir semalam akibat demam panas.

Ketua DPPM, Nasrudin Hassan menyifatkan pemergian almarhum ke rahmatullah semalam adalah suatu kehilangan besar kepada negara.

Katanya, almarhum Azli dikenali sebagai seorang yang berbakat besar dan amat berjasa kepada negara khususnya dalam bidang ICT dan amat sukar bagi negara melahirkan insan cerdik sepertinya.

“Kepakarannya dalam bidang tersebut diiktiraf oleh kerajaan dan beliau juga menjadi kebanggaan kepada negara malah diperingkat antarabangsa,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Justeru, kata beliau DPPM merasakan amat wajar generasi muda hari ini mencontohi keperibadian dan sumbangan yang almarhum taburkan demi membangunkan teknologi maklumat di negara ini.

Antara jasa besar almarhum adalah mengasas DAPAT SMS dan MySMS 15888 yang mengubah cara orang awam dan organisasi berkomunikasi di antara satu sama lain.

Beliau juga mencetus idea mewujudkan RakanCop di mana orang awam dapat bekerjasama dengan pihak polis bagi mencegah jenayah sebelum ia terjadi.
Beliau juga menjadi panel penceramah mengenai teknologi maklumat di stesen radio Bernama Radio 24 sejak 2007.

“DPPM mendoakan semoga keluarga almarhum tabah menghadapi ujian ini. Semoga almarhum ditempatkan sebagai insan soleh dan diredhai di sisi-Nya,” ujar Nasrudin lagi.

Tiada ulasan: