Ahad, 17 Februari 2013

Pemilih luar negara boleh mohon undi pos sehingga hari pembubaran

SINAR HARIAN

Wan Ahmad Wan Omar
Wan Ahmad Wan Omar
 
KUALA LUMPUR - Rakyat Malaysia yang menetap di luar negara dan berdaftar sebagai pemilih berdaftar mempunyai tempoh sehingga hari pembubaran Parlimen untuk memohon mengundi secara pos pada pilihan raya ke-13.
  
Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata permohonan menerusi Borang 1B yang diterima selepas pukul 12 malam pada hari pembubaran tidak akan diproses.
  
Sejak permohonan dibuka 21 Januari lepas hingga semalam, SPR menerima 2,485 permohonan daripada rakyat Malaysia di luar negara, katanya kepada Bernama.
  
Daripada jumlah itu, antara permohonan tertinggi diterima daripada mereka yang menetap di Australia iaitu 574, United Kingdom (449), Amerika Syarikat (195), China (132), Qatar (116) dan Emiriah Arab Bersatu (97).
  
Selain mereka, 2,651 pelajar Malaysia, penjawat awam dan pasangan yang tinggal di luar negara dan merupakan pengundi tidak hadir telah mendaftar untuk mengundi secara pos pada pilihan raya ini.
  
Beliau berkata rakyat Malaysia boleh merujuk panduan mengisi Borang 1B dan senarai soalan berkaitan (FAQ) yang disediakan melalui laman sesawang SPR bagi memastikan mereka mengisi borang permohonan mengundi secara pos dengan betul.
  
Borang 1B yang lengkap diisi hendaklah dikemukakan kepada ibu pejabat SPR sama ada melalui e-mel  (upup@spr.gov.my); atau faks (+603-8881 1201/ 1202/ 1187/ 1192); atau pos ke ibu pejabat SPR di Putrajaya.
  
Wan Ahmad berkata setiap permohonan akan segera diproses dan pemohon akan dimaklumkan mengenai status permohonan mereka.
  
Rakyat Malaysia di luar negara dinasihati sentiasa menyemak pengumuman SPR mengenainya melalui laman sesawang www.spr.gov.my dari semasa ke semasa,” katanya.
  
Buat pertama kali dalam sejarah pilihan raya negara, rakyat Malaysia menetap di luar negara dan berdaftar sebagai pemilih berpeluang mengundi dan terlibat dalam menentukan masa depan negara.
      
Sebelum ini, hanya pelajar sepenuh masa dan penjawat awam dengan pasangan masing-masing dibenarkan mengundi secara pos.

Selain menjadi pemilih berdaftar, mereka mestilah memenuhi syarat pernah berada di Malaysia untuk tempoh tidak kurang daripada 30 hari dalam tempoh lima tahun sebelum Parlimen dan Dewan Undangan Negeri dibubar.
     
Rakyat Malaysia yang tinggal di Selatan Thailand, Singapura, Brunei dan Kalimantan tidak layak memohon mengundi melalui pos dan perlu balik mengundi pada hari pengundian dijalankan.
  
Penambahbaikan yang dilakukan SPR ini adalah satu daripada 22 syor Jawatankuasa Pilihan Khas Berhubung Penambahbaikan Proses Pilihan Raya sewajarnya digunakan sebaik mungkin oleh mereka yang sayangkan Malaysia, kata beliau.
  
“Peluang untuk mengundi melalui pos kepada rakyat Malaysia di luar negara adalah satu transformasi politik pilihan raya dan satu lonjakan pelaksanaan hak mengundi kepada rakyat Malaysia dan amat bermakna dalam sejarah proses demokrasi di negara ini,” kata Wan Ahmad yang berkhidmat dengan SPR sejak 1998 sebagai setiausaha dan mula menjawat Timbalan Pengerusi SPR pada 2005 sehingga sekarang.
  
"Dia (rakyat Malaysia di luar negara) kena ada attachment (ikatan yang rapat) kepada negara. Nak pilih wakil rakyat, nak pilih kerajaan, kenalah ada komitmen kepada negara. Bukannya perkara besar sangat (untuk pulang ke Malaysia)," tegasnya.

Katanya walaupun mengundi merupakan hak yang dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan, aspek tanggungjawab dan hubungan dengan negara perlu dititikberatkan kerana ia akan menentukan masa depan Malaysia.
  
Bagi memastikan kelancaran pelaksanaan pengundian secara pos rakyat Malaysia di luar negara, SPR bekerjasama dengan pejabat-pejabat perwakilan dan kedutaan Malaysia di luar negara, memberi latihan, buku panduan tatacara kerja dan video cakera padat mengenai proses mengundi secara pos.
     
Wan Ahmad menjelaskan, sebuah Unit Pengurusan Undi Pos Luar Negara yang beroperasi 24 jam akan diwujudkan di ibu pejabat SPR di Putrajaya bagi melancarkan proses itu.
  
"Waktu kita di sini dan negara lain berbeza. Kita tak mahu simpan kertas mengundi di lapangan terbang. Kita terus bawa balik ke pejabat SPR. Pegawai di Unit Pengurusan akan mengasing-asingkan mengikut kawasan dan dengan kawalan polis.
      
"Kemudian karung kertas undi akan ditera dan dihantar ke pegawai pengurus. Semuanya akan dikira selepas jam 5 petang hari mengundi," katanya.

Beliau turut menggalakkan pengundi pos untuk mengambil sendiri Sampul Keutamaan yang mengandungi kertas undi di pejabat kedutaan Malaysia di negara masing-masing meskipun pihak kedutaan akan menghantar sampul itu secara pos.
      
"Kemas kini alamat di kedutaan dan pihak kedutaan akan hubungi untuk pastikan cara mengambil kertas undi. Kita mahu mereka mengambil kertas-kertas undi mereka sendiri. Kita tak mahu bila hantar (pos) tak sampai. Nanti dia akan cari orang untuk dipersalahkan, tuduh macam-macam," katanya.
      
Kepada mereka yang memberi alasan menetap jauh dari kedutaan, Wan Ahmad berkata: "Kalau betul-betul sayangkan negara dan mahu mengundi, patutnya sanggup buat apa sahaja."  - Bernama

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

jangan daftar sebagai pengundi pos bagi yang berada diluar Negara kerana mereka akan monolasi undi dengan mengira kertas undi yang lain kerana jumlah kertas tak dikira selepas pengundian. sepatutnya kena kira depan caunting agen parti2.